P.Pinang komited capai sasaran guna transaksi tanpa tunai 100 peratus

P.Pinang komited capai sasaran guna transaksi tanpa tunai 100 peratus

H’NG Mooi Lye (kanan) bersama Muhamad Husni Mahmud menunjukkan piala dan sijil Johan Anugerah Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang bagi Program Kempen Cashless Boleh 5.0 yang diperolehi ketika sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri komited untuk mencapai sasaran tahap penggunaan transaksi tanpa tunai sehingga 100 peratus tidak lama lagi menerusi beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, antara inisiatif itu termasuk melibatkan penyertaan daripada semua 24 jabatan serta agensi kerajaan negeri dalam kempen berkenaan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap aspek penambahbaikan berterusan menerusi pelaksanaan kajian kepuasan pengguna bagi mendapatkan maklum balas serta memahami pengalaman mereka dalam menggunakan kemudahan pembayaran digital.

“Pada masa yang sama, pelbagai pendekatan hebahan dan promosi turut dipergiat melalui pemasangan bahan promosi di pejabat-pejabat kerajaan negeri selain penggunaan saluran komunikasi rasmi seperti laman sesawang, media sosial dan platform digital jabatan.

“Semua pendekatan ini diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemudahan, keselamatan serta manfaat pembayaran secara nirtunai (tanpa tunai),” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud.

Pulau Pinang sebelum ini muncul sebagai Johan Anugerah Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang bagi kempen Cashless Boleh 5.0 peringkat kebangsaan selepas merekodkan kadar transaksi nirtunai sebanyak 99.40 peratus.

Kejayaan itu membolehkan Pulau Pinang mengatasi beberapa negeri lain sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM50,000 beserta piala serta sijil kejuaraan.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, ini kali kedua berturut-turut Pulau Pinang mengungguli anugerah tersebut selepas berjaya merekodkan kadar transaksi nirtunai sebanyak 95 peratus pada kempen Cashless Boleh 4.0 sebelum ini.

“Dengan komitmen serta kerjasama semua pihak, saya yakin Pulau Pinang akan mengekalkan kedudukannya sebagai negeri peneraju dalam agenda pendigital sekali gus menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN