SRI GADING: Pakatan Harapan (PH) didakwa melihat Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai ancaman terbesar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana tidak berhenti menyerang pemimpin Barisan Nasional (BN) itu.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, PH kerap menyerang Onn Hafiz sepanjang kempen PRN Johor kerana takut dan merasakan beliau sebagai ancaman terbesar.
Menurut beliau, strategi PH menyerang Onn Hafiz akan membawa padah kepada gabungan politik itu sendiri kerana menampakkan mereka terlalu obses dengan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu.
“Bagi saya, kalau kamu sudah kenal pasti seorang bakal Menteri Besar Johor walaupun tertakluk kepada pekenan istana, jika ada seorang yang sama taraf dengan Onn Hafiz, okay lah kita boleh panggil berdebat antara calon Menteri Besar.
“Dr. Maszlee Malik tidak dapat pun pengesahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Johor, dia sendiri ingat boleh jadi. Kalau nak debat, kena sama level lah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Beliau hadir bagi membantu calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri.
Khairy turut mempertahankan keputusan Onn Hafiz untuk menolak seruan debat dengan Maszlee yang merupakan calon PH bagi DUN Puteri Wangsa.
“Mungkin Menteri Besar rasa lebih baik beliau turun ke lapangan untuk menjelaskan polisi, program dan isu.
“PH sendiri kena namakan calon Menteri Besar mereka, selepas itu kita boleh pertimbangkan,” katanya. – UTUSAN










