BAGAN DATUK: “Saya harap dia tidak jatuh sungai. Naluri saya mengatakan dia masih berada di darat. Mungkin dia hanya tersesat.”
Demikian kata Razidah Mohd. Akhir, 39, isteri kepada Mohd. Nor Firdaus Mohd. Mokhtar, 42, selepas lelaki itu dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini apabila motosikalnya ditemukan di atas jambatan tersebut semalam.
Razidah yang menetap di Subang, Selangor berkata, dia menerima panggilan daripada polis kira-kira pukul 10.30 pagi semalam memaklumkan mengenai penemuan motosikal suaminya di atas jambatan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, dia masih sukar mempercayai bagaimana motosikal suaminya boleh ditemukan di Bagan Datuk kerana lelaki itu keluar bekerja seperti biasa pada pagi semalam.
“Saya tertanya-tanya bagaimana motosikalnya boleh sampai ke sini. Dia bekerja sebagai pemandu lori di Subang dan pagi semalam dia keluar bekerja dengan menunggang motosikal. Setahu saya dia hanya bekerja di sekitar Selangor.
“Mungkin dia dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Trong, Taiping kerana dia memang sering menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Namun, sepanjang pengetahuan saya, dia tidak pernah melalui susur masuk ke jambatan ini.
“Saya hanya berharap dia dapat ditemui. Mungkin dia tidak jatuh ke dalam sungai. Naluri saya kuat mengatakan dia masih berada di darat, berjalan-jalan di sekitar kawasan ini atau mungkin dia tersesat. Itulah doa saya setiap masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Razidah, suaminya mengalami kemurungan dan sedang menerima rawatan daripada doktor.
Bagaimanapun, katanya, keadaan suaminya kelihatan baik sebelum keluar bekerja dan tidak menunjukkan sebarang perubahan atau meninggalkan sebarang pesanan.
Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 11.36 pagi mengenai seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah.
Menurut beliau, sebuah motosikal Modenas Z15 GT yang dipercayai milik mangsa ditemukan ditinggalkan di bahu jalan di atas jambatan sebelum operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan.
Sehingga kini, operasi mencari mangsa masih diteruskan. – UTUSAN










