Nahas penunggang RXZ: Muhammad Hafiz jiran baik, tidak pernah bunyi bising motosikal

Nahas penunggang RXZ: Muhammad Hafiz jiran baik, tidak pernah bunyi bising motosikal

KEADAAN sebuah motosikal Yamaha RXZ yang terlibat nahas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Jabor di Kuantan, Pahang.- IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Tidak pernah dengar bunyi bising ekzos motosikal Yamaha RXZ walaupun kami berjiran. Dia memang orang yang baik, Allah lebih sayangkannya.”

Demikian luahan jiran kepada Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, iaitu salah seorang penunggang motosikal RXZ yang maut dalam kemalangan melibatkan 13 buah kenderaan di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kemaman, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Nurul Huda Hariza, 40, berkata, sepanjang empat tahun berjiran di Kampung Cacar Baru, Paka, dekat sini, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang baik dan tidak pernah menimbulkan sebarang gangguan kepada penduduk sekitar.

Katanya, Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim yang bekerja sebagai pemandu lori tiga tan di syarikat milik suaminya sejak lebih setahun lalu juga disenangi rakan sekerja kerana sikapnya yang baik.

“Walaupun dia menunggang motosikal RXZ, kami tak pernah dengar bunyi bising daripada motosikalnya. Memang dia seorang yang sangat baik dan tidak pernah mengganggu jiran.

“Biasa ramai kawan-kawannya datang untuk baiki motosikal RXZ di rumahnya. Orang baik, Allah lebih sayangkan dia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Nurul Huda turut berkongsi detik sebelum menerima khabar duka itu apabila suaminya menerima panggilan telefon kira-kira pukul 2.44 pagi.

Katanya, sebelum itu dia sempat terlelap seketika selepas pulang makan malam sebelum terjaga sekitar pukul 2 pagi dan melayari media sosial  untuk mencari idea membaiki rumah.

“Tiba-tiba suami dapat panggilan telefon. Saya sempat bertanya sama ada ada pekerja yang bekerja malam itu. Suami malas hendak angkat sebab sedang tidur dan saya kata kalau betul-betul penting, tentu orang itu akan hantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Rupa-rupanya memang berita yang sangat menyedihkan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu dia turut terdengar bunyi  kereta jiran keluar dari rumah sekitar pukul 2 pagi, namun menyangka Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim yang keluar.

“Rupa-rupanya isteri arwah yang keluar selepas menerima berita itu. Saya agak sedih mengenangkan mereka, apatah lagi pasangan itu baru dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia lebih setahun,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi ini, empat penunggang motosikal Yamaha RXZ maut manakala seorang remaja perempuan cedera dalam kemalangan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN