KOTA BHARU: Penganjur majlis bertemakan retro hippie 60-an dan 70-an di sini, tampil memohon maaf dan menegaskan ia bukan hiburan disko atau majlis hiburan sebagaimana tanggapan umum.
Menggunakan nama Fykaaschaa Kaka dalam laman media sosial Facebook, dia berkata, ia hanya majlis persendirian berskala kecil yang menghimpunkan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, selain diselitkan sambutan hari jadi.
“Majoriti yang hadir ialah suami isteri, keluarga dan turut melibatkan kanak-kanak. Ia bukan tempat bercinta, bukan tempat untuk mabuk atau mengambil bahan terlarang.
“Bayaran tiket yang dikutip pula hanya bagi menampung kos makanan, sewaan dewan dan aktiviti permainan,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya malam tadi.
Fykaaschaa berkata, dia menghormati undang-undang kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta mengakui terdapat kekhilafan sehingga program itu menjadi tular dalam media sosial.
Katanya, isu itu menjadi besar selepas video pendek memaparkan peserta berjoget dan berdansa tular dalam media sosial sehingga aktiviti tersebut dianggap sebagai pengisian utama program berkenaan.
“Saya akui kami manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Niat kami hanya mahu berkumpul dan melepaskan tekanan, bukannya menubuhkan kelab disko.
“Perkataan ‘Disco Retro’ pada poster hanyalah merujuk kepada tema pakaian pada malam itu,” ujarnya.
Fykaaschaa turut menjelaskan bahawa individu dikenali sebagai JL Fara bukan penganjur program berkenaan seperti yang didakwa dalam media sosial.
Katanya, dia sendiri merupakan penganjur majlis tersebut dan hanya menyewa dewan milik JL Fara.
“Saya akan bertanggungjawab menyelesaikan isu berkenaan dengan segera dan memaklumkan wakil Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah hadir bertemu pihak penganjur,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, penganjur program hiburan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an yang tular dalam media sosial berdepan hukuman denda sehingga RM60,000 selepas didapati didapati menganjurkan acara tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, selain itu penganjur turut berdepan hukuman penjara lapan tahun jika disabitkan kesalahan.
Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur hiburan tersebut tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada MPKB-BRI.










