mySalam didik literasi kewangan anak Orang Asli

mySalam didik literasi kewangan anak Orang Asli

NUR FAHIRA (dua dari kanan) bersama kanak-kanak Orang Asli yang menyertai Program Bijak Wang anjuran mySalam di Kampung Runchang, Pekan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Usaha menarik minat kanak-kanak Orang Asli dalam pengurusan kewangan yang dilihat agak sukar akhirnya dapat disemai melalui Program Bijak Wang anjuran mySalam yang dilakukan secara berterusan.

Dengan kaedah pembelajaran melalui permainan dan secara tidak langsung bukan sahaja menarik minat kanak-kanak Orang Asli tetapi memberikan mereka kefahaman yang jelas mengenai pengurusan kewangan.

Hari ini, kanak-kanak Orang Asli di Kampung Runchang di sini bertuah apabila berpeluang menyertai Program Bijak Wang anjuran mySalam bagi memperkasakan literasi kewangan sejak usia muda, sekali gus membentuk generasi yang lebih celik dalam aspek pengurusan kewangan.

Ketua skim mySalam, Syuhaib Ithnin berkata, inisiatif tersebut dilihat selari dengan hasrat meningkatkan tahap kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat, khususnya komuniti Orang Asli yang memerlukan akses kepada pendidikan kewangan secara lebih menyeluruh.

Katanya, sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, permainan pendidikan serta simulasi pengurusan kewangan yang disusun bagi memudahkan mereka memahami konsep asas kewangan dengan lebih menyeronokkan.

“Selain itu, fasilitator turut menerangkan kepentingan membezakan antara keperluan dan kehendak, di samping menggalakkan peserta mengamalkan tabiat menyimpan wang secara konsisten walaupun dalam jumlah yang kecil.

“Program Bijak Wang turut menekankan kepentingan perancangan kewangan sejak kecil bagi membantu peserta membina disiplin dalam mengurus perbelanjaan serta mengelakkan amalan pembaziran apabila meningkat dewasa.

“Besar harapan saya agar ilmu kewangan yang diberikan kepada anak-anak Orang Asli ini dapat membantu mereka khususnya dalam membina kerjaya lebih hebat pada masa akan datang,” katanya pada Program Jelajah mySalam Sempena Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Kampung Runchang di sini, hari ini

NUR FAHIRA BAHARIM

Dengan kerjasama pelbagai pihak, program itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan mengurus wang secara berhemah, budaya menabung serta membuat keputusan kewangan yang bijak dalam kehidupan seharian.

Menurut Syuhaib, penganjuran program berkenaan juga menjadi platform untuk menyemai nilai tanggungjawab terhadap pengurusan kewangan dalam kalangan generasi muda agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi pada masa depan.

Katanya, pendidikan kewangan yang diterapkan sejak usia muda mampu membentuk individu yang lebih berdaya tahan dari segi ekonomi, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti.

Malah, pendekatan pembelajaran secara santai dan interaktif berjaya menarik minat peserta untuk lebih memahami konsep pengurusan wang, sekali gus membuktikan pendidikan kewangan boleh disampaikan dengan cara yang mudah difahami.

“Program itu juga mencerminkan komitmen berterusan mySalam dalam memperluaskan manfaat literasi kewangan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, termasuk komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Melalui penganjuran Program Bijak Wang, mySalam berharap lebih ramai kanak-kanak Orang Asli dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan harian, seterusnya menjadi ejen perubahan yang mampu memupuk budaya pengurusan kewangan berhemah dalam keluarga dan komuniti mereka,”katanya.

Beliau memberitahu sehingga 30 Jun lalu, lebih 2 juta penerima telah menerima manfaat mySalam dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.49 bilion.

Katanya, orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan secara langsung di kiosk mySalam yang berada di semua hospital kerajaan untuk melancarkan proses tuntutan selain melayari www.mysalam.com.my untuk informasi lanjut.

Dalam pada itu Timbalan Pengarah Perhubungan Awam mySalam, Nur Fahira Baharim berkata, pelaksanaan program itu amat signifikan dalam memberikan pendedahan kepada kanak-kanak mengenai pengurusan kewangan.

Katanya, dengan cara pendedahan kewangan melalui permainan dilihat dapat menarik minat kanak-kanak termasuk kanak-kanak Orang Asli untuk belajar dan memahami pengurusan kewangan.

“Melalui permainan ini mereka belajar mengenai pelbagai perkara termasuk pengurusan perbelanjaan, pinjaman, kehendak dan kemahuan bagi membolehkan mereka mempelajari pengurusan kewangan,”katanya.

HAIRUL SYAZWAN ALWAN

Sementara itu, seorang kanak-kanak Hairul Syazwan Alwan, 12, berkata, selepas menyertai program ini dia berasa begitu bersemangat untuk mempelajari aspek kewangan dan bercita-cita menjadi pakar kewangan.

Katanya, pembelajaran kewangan bukan sahaja tidak membosankan tetapi membuatkan mereka memahami dengan jelas aspek pengurusan kewangan.

“Saya dan kawan-kawan amat gembira dengan program ini dan bersemangat untuk terus belajar dan menjadi pakar kewangan bagi membantu kaum Orang Asli dalam pengurusan kewangan,”ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN