Murid SK Wassai jalan kaki ke sekolah selepas jambatan dihanyutkan arus

Murid SK Wassai jalan kaki ke sekolah selepas jambatan dihanyutkan arus

MURID SK Wassai kehilangan laluan ke sekolah selepas jambatan utama di kampung mereka dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat di daerah Kiulu. - HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIULU: Sekumpulan murid dari tiga kampung iaitu Kampung Nuluhon, Kimoulau dan Wassai di pedalaman daerah ini yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Wassai, Kiulu terpaksa berjalan kaki pergi dan balik sekolah sejauh beberapa kilometer sejak beberapa hari lalu.

Keadaan itu berpunca selepas jambatan yang menjadi laluan utama mereka berhampiran kampung itu musnah dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian Ahad lalu.

Difahamkan, murid terbabit terpaksa meneruskan perjalanan ke sekolah dengan menggunakan jambatan gantung usang yang terdapat di kampung itu.

Selain murid sekolah itu, penduduk beberapa perkampungan di daerah itu juga turut berdepan kesulitan apabila jalan perhubungan mereka terjejas selepas kejadian hakisan dan tanah runtuh berpunca hujan lebat.

Kejadian tanah runtuh berlaku di Kampung Kotunuan Lama, Kiulu menyebabkan jalan yang ada di situ tidak dapat dilalui kenderaan sejak tiga hari lalu.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengakui kejadian itu sukar dielakkan kerana berpunca fenomema alam seperti hujan yang memaksa penduduk berjalan kaki.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, tindakan pembersihan laluan terjejas dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya segera turun padang meninjau keadaan jalan terputus akibat bencana alam itu dan mendapati memang bahaya untuk digunakan. Malah ada penduduk terpaksa berjalan kaki sambil membawa anak kecil untuk ke pekan Kiulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN