PETALING JAYA: Syarikat pembinaan infrastruktur rel Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan lanjut mengenai kes saman penduduk bagi menghormati proses perundangan.
MRL berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media berhubung kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk Taman Mutiara Gombak 2 mengenai aspek keselamatan projek mega tersebut yang terletak berhampiran kawasan kediaman mereka.
Katanya, syarikat itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap fasa pelaksanaan projek ECRL.
“MRL memandang serius setiap aduan dan kebimbangan yang dikemukakan oleh orang awam. Perkara ini telah difailkan di mahkamah dan akan melalui proses perundangan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MRL turut menyatakan komitmennya untuk terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak mahkamah serta semua pihak berkuasa berkaitan sepanjang tempoh proses perundangan berjalan.
Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan projek ECRL di kawasan berkenaan akan diteruskan seperti biasa.
Menurut MRL, kerja pembinaan itu dilaksanakan selaras dengan kelulusan, spesifikasi teknikal, keperluan kawal selia serta piawaian keselamatan ketat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Syarikat akan kekal komited untuk memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan mengutamakan aspek keselamatan, kualiti dan kepentingan awam.
“Langkah itu amat penting bagi memastikan projek ECRL dapat memberi manfaat optimum kepada rakyat serta menyokong pembangunan ekonomi negara secara mampan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










