MERHROM gesa UNHCR sedia penempatan sementara kepada pelarian Rohingya

MERHROM gesa UNHCR sedia penempatan sementara kepada pelarian Rohingya

DIANGGARKAN bilangan etnik Rohingya di Malaysia adalah seramai 200,000 orang pada 2022. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya (MEHROM) menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) segera menyediakan penempatan sementara kepada lebih 100 pelarian Rohingya yang kehilangan tempat berteduh selepas diarah keluar dari kediaman mereka di Kuala Muda, Pulau Pinang.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, langkah segera itu penting bagi memastikan keluarga yang terjejas khususnya wanita dan kanak-kanak, mempunyai tempat perlindungan yang selamat sementara penyelesaian jangka panjang dapat dicapai.

Menurutnya, kebanyakan keluarga terbabit terpaksa meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan tergesa-gesa sehingga tidak sempat membawa bersama harta benda selain beberapa helai pakaian.

“Mereka kini tidak mempunyai tempat untuk berlindung. Wanita dan kanak-kanak berada dalam ketakutan kerana tidak mengetahui apakah nasib yang bakal menimpa mereka.

“Kami berharap UNHCR dapat membantu menyediakan penempatan sementara kepada keluarga yang terjejas. Bagaimanakah mereka akan meneruskan kehidupan selepas ini? Bantulah mereka ketika menghadapi krisis ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan pelarian berkenaan pergi ke pejabat UNHCR semalam bukan untuk mengadakan perhimpunan sebaliknya bagi mendapatkan bantuan selepas diarahkan keluar oleh pemilik rumah dan penduduk kampung kerana tidak lagi mempunyai tempat untuk dituju.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen Malaysia, seramai 110 individu diperiksa membabitkan 35 lelaki dewasa, 29 kanak-kanak lelaki, 22 wanita dewasa, 23 kanak-kanak perempuan warga Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia.

Zafar berkata, masyarakat Rohingya merupakan golongan tidak bernegara (stateless) yang terpaksa melarikan diri daripada konflik dan genosid di Myanmar serta tidak boleh dihantar pulang ke negara asal.

“Ramai pelarian Rohingya telah lama berada di Malaysia namun masih belum mendapat penempatan semula ke negara ketiga.

“Justeru, kami berharap kerajaan Malaysia dan UNHCR dapat bekerjasama dengan negara-negara penempatan semula bagi meningkatkan kuota penempatan kerana ia merupakan satu-satunya penyelesaian yang mampan bagi pelarian Rohingya yang tidak bernegara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, insiden di Kuala Muda bukanlah kejadian terpencil kerana situasi sama pernah berlaku di beberapa negeri lain.

Sehubungan itu, MERHROM turut menyeru kerajaan Malaysia, UNHCR dan masyarakat antarabangsa supaya mempergiat usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya selain memastikan kebajikan mereka terus terbela sepanjang berada di negara ini.

“Kita juga menasihatkan semua pelarian dan pencari suaka Rohingya di Malaysia supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara serta menghormati budaya dan adat resam masyarakat tempatan,” katanya.

Media semalam melaporkan ratusan etnik Rohingya yang berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling di sini, dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan pemindahan semua warga asing terbabit dilakukan malam tadi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini.

Anwar berkata, agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIM serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara pada awal pagi semalam dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN