Mekanik dipenjara 20 tahun, tujuh sebatan perkosa dan pukul remaja ketika joging 

Mekanik dipenjara 20 tahun, tujuh sebatan perkosa dan pukul remaja ketika joging 

TERTUDUH (tengah) semasa dibawa polis semasa prosiding perbicaraan di Mahkamah Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan ke atas seorang mekanik yang memukul, merogol dan merompak remaja berusia 15 tahun ketika berjoging di Tumpat, dekat sini, bulan lalu.

Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun sebulan dan sebelum merogolnya telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh  melakukan rompak ke atas telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik gadis itu dengan bersenjatakan sebatang kayu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kawasan semak Kampung Mesira, Palekbang dekat Tumpat kira-kira pukul 7.40 pagi pada 17 Jun 2026.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman yang setimpal kerana tertuduh melakukan dua kesalahan iaitu merompak telefon bimbit sebelum menyebabkan kecederaan dan merogol mangsa.

“Pukulan yang kuat pada bahagian belakang dan muka dengan sebatang kayu menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan parah sebelum tertuduh bertindak merogol remaja itu.

“Mangsa juga memakai pakaian dan tudung labuh semasa berjoging, namun tertuduh masih tergamak untuk melakukan perbuatan itu. Tertuduh menjual telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik mangsa pada harga RM35 di sebuah premis sekali gus menunjukkan betapa rendahnya maruah remaja itu dengan perbuatannya,” ujarnya.

Muhammad Faryzuan dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dengan alasan perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dari tarikh tangkapan iaitu pada 7 Julai lalu dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima tahun serta dua sebatan bagi pertuduhan kedua

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan secara berasingan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman penjara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN