KUALA LUMPUR: Dominasi DAP dalam kalangan pengundi Cina mula terhakis apabila keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan sebahagian sokongan masyarakat itu kembali memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan MCA.
Perubahan sentimen dapat dilihat menerusi kejayaan MCA merampas tiga kerusi yang sebelum ini dianggap kubu kuat DAP.
Kerusi-kerusi itu adalah Jementah, Tangkak dan Johor Jaya serta mengekalkan penguasaan di Pekan Nanas, Yong Peng, Bekok dan Paloh yang dimenangi pada 2022.
Pada masa sama, MCA turut terbukti berjaya membantu gabungan berkenaan mempertahankan kerusi Layang-Layang yang dimenangi UMNO pada PRN lalu.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perubahan itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah kerusi dimenangi MCA, selain majoriti lebih besar di beberapa kawasan, sekali gus mencerminkan keyakinan baharu masyarakat Cina.
Katanya, trend berkenaan turut disokong peningkatan sokongan dalam kalangan pengundi muda yang memilih MCA selepas menilai rekod perkhidmatan parti di kawasan masing-masing.
“Di kawasan yang kita kalah, kita pun cuma kalah tipis sahaja dan saya percaya rakyat akan percaya dengan kita jika kita terus buat kerja dari sekarang. Di kawasan yang sudah menang, majoriti kita bertambah besar. Ini adalah satu bentuk endorsement daripada rakyat.
“Dulu kebanyakan pengundi Cina memberikan sokongan kepada DAP tetapi kali ini kita nampak ada kelainan. Pengundi muda juga semakin memilih MCA dan ini menunjukkan pendekatan kita selama ini mula diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ka Siong berkata, perubahan sokongan itu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerja keras sejak empat tahun lalu dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan di peringkat akar umbi, walaupun ketika berstatus pembangkang di beberapa kawasan.
Katanya, strategi mendekati rakyat secara konsisten akhirnya membuahkan hasil apabila MCA bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi sedia ada, malah merampas semula kawasan yang tewas.
Ka Siong turut mengakui faktor kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkan berkesan dan dekat dengan rakyat tidak mengira bangsa turut membantu meningkatkan keyakinan masyarakat Cina terhadap BN.
Beliau berkata, keputusan PRN Johor kelmarin memberi isyarat bahawa masih terdapat ruang untuk BN dan MCA memperluas sokongan masyarakat Cina, seterusnya mengukuhkan kedudukan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
Katanya, sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan, beliau mengarahkan semua wakil rakyat MCA kembali ke kawasan masing-masing untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi serta membuka pusat khidmat tanpa berlengah.
“Kita tidak mahu tunggu lama. Saya mahu wakil rakyat terus turun padang dan memulakan perkhidmatan kerana itulah cara terbaik membalas budi serta kepercayaan rakyat.
“Saya nak mereka terus bekerja bermula dari hari ini dan benar-benar berkhidmat untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN










