Maut tercampak di LPT ketika ke Himpunan RXZ Members

Maut tercampak di LPT ketika ke Himpunan RXZ Members

MOTOSIKAL jenis Yamaha LC135 yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur (LPT)  arah Kuantan di Temerloh, Pahang. - IHSAN IPD TEMERLOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak ke lorong kanan sebelum dirempuh sebuah kereta di Kilometer 112.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Kuantan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd. Shahrizan, 19, dari Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan sebuah Perodua Myvi pada pukul 1.03 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari Klang menuju Kuala Terengganu bagi menghadiri Himpunan RXZ Member 8.0 bersama empat rakannya, menjadikan konvoi itu seramai lima penunggang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang sebelum terbabas dan terjatuh di lorong kiri lebuh raya.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak ke lorong kanan sebelum sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggarnya,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nasyim berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak semula ke bahu jalan di lorong kiri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal sehingga terbabas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN