MARDI tanam 25,000 pokok durian MS88 dalam tempoh lima tahun - Utusan Malaysia

MARDI tanam 25,000 pokok durian MS88 dalam tempoh lima tahun

DATUK Dr Mohamad Zabawi menunjukkan durian hibrid yang dihasilkan MARDI ketika Program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sebanyak 25,000 pokok durian hibrid MARDI Super 88 (MS88) telah ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2021.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penanaman varieti durian itu kini meliputi kawasan seluas kira-kira 242.8 hektar di seluruh negara.

Katanya, antara negeri yang menerima bekalan anak pokok MS88 ialah Melaka, Selangor dan negeri-negeri Pantai Timur, selain penanaman turut diperluaskan ke beberapa negeri lain.

“MARDI telah menghasilkan tiga varieti durian premium sejak awal tahun 2000, dengan yang paling popular ialah MARDI Super 88 (MS88) atau nama asalnya MDUR88.

“Dua lagi varieti yang dibangunkan ialah MDUR78 dan MDUR79, menjadikan ketiga-tiganya sebagai varieti durian premium hasil penyelidikan dan pembangunan MARDI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, MARDI kini mengenal pasti beberapa hibrid durian baharu yang berpotensi untuk diperkenalkan kepada pasaran selepas melalui proses penilaian menyeluruh.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira tiga varieti baharu yang sedang berada dalam fasa akhir penilaian bagi memastikan hibrid berkenaan memenuhi cita rasa penggemar durian selain sesuai ditanam secara komersial oleh petani.

“Nama bagi varieti baharu itu masih belum diputuskan dan hanya akan diumumkan apabila ia dilancarkan secara rasmi.

“Kita juga mahu pelancaran dibuat ketika musim durian supaya orang ramai berpeluang merasai sendiri buah yang diperkenalkan,” katanya.

Tambah beliau, ketiga-tiga varieti itu kini berada di peringkat penilaian dan hanya akan diisytiharkan selepas bekalan benih dan hasil buah mencukupi.

“Memang sudah ada di ladang, pokok pun sudah besar. Cuma kita mahu memastikan pengeluaran benih dan hasil buah mencukupi ketika hendak mengisytiharkannya, barulah kita boleh berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN