KUALA LUMPUR: Kes penipuan membabitkan urusan hartanah sebuah stesen minyak yang mengakibatkan kerugian RM6.2 juta sejak hampir dua dekad lalu menjadi antara kes yang didakwa masih belum memperoleh pembelaan walaupun laporan polis telah dibuat.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kelewatan tindakan terhadap kes penipuan menyebabkan mangsa terus menanggung kerugian kewangan dan tekanan berpanjangan.
Katanya, ada mangsa yang menunggu sehingga berpuluh-puluh tahun tanpa sebarang penyelesaian walaupun telah mengemukakan bukti serta membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Apabila kes dibiarkan terlalu lama, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, malah hilang mata pencarian dan keyakinan terhadap sistem keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Nadzim berkata, PPIM berharap agensi penguat kuasa mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes penipuan yang telah lama tertangguh supaya mangsa dapat memperoleh pembelaan dan hak mereka dikembalikan secepat mungkin.
Salah seorang mangsa, Zaidatul Sharifah Zainal Abidin, 57, mendakwa, dia kerugian kira-kira RM6.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan dalam urusan penjualan tanah bagi sebuah stesen minyak di Johor Bahru pada 2007.
Katanya, segala urusan jual beli dilakukan melalui peguam dengan dokumen lengkap, namun wang hasil transaksi itu tidak pernah diterimanya.
“Saya sudah membuat dua laporan polis tetapi sehingga kini masih tiada tindakan.
“Harapan saya hanya mahu mendapatkan semula hak saya,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang hampir 20 tahun lalu, beliau turut mendapatkan khidmat kira-kira 15 peguam bagi menyelesaikan kes berkenaan, namun masih gagal.
Beliau yang pernah mengusahakan stesen minyak turut mendakwa kontraknya ditamatkan tanpa menerima surat penamatan rasmi daripada Petronas, sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.
Sementara itu, seorang usahawan, Pan Shiqiao, 43, mendakwa kerugian RM2.3 juta selepas diperdaya dalam pelaburan tanah yang didakwa melibatkan ahli keluarga jauhnya dari tanah besar China.
Katanya, wang pelaburan dipindahkan kepada peguam mengikut perjanjian, namun individu terbabit menghilangkan diri, manakala tanah yang dijanjikan didakwa tidak boleh diperdagangkan kerana berada di bawah kawalan kerajaan.
Beliau berkata, sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat berhubung kes itu, namun siasatan didakwa berjalan perlahan manakala pertikaian membabitkan peguam pula diminta dibawa ke mahkamah sivil. – UTUSAN









