MELAKA: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat kepada 989 orang daripada 314 keluarga, dengan daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah mangsa paling ramai setakat pukul 7.00 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt. Kol. Kamarulsyah Muslim berkata, sebanyak enam PPS kini beroperasi di dua daerah yang terjejas iaitu Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Menurut beliau, Melaka Tengah mencatatkan seramai 969 mangsa daripada 308 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.
“SK Tanjung Minyak 2 merekodkan jumlah pemindahan tertinggi apabila menempatkan 227 keluarga membabitkan 716 mangsa diikuti SK Taman Bukit Rambai dengan 186 mangsa daripada 55 keluarga.
“Selain itu, Japerun Pantai Kundor menempatkan 43 mangsa daripada 17 keluarga, manakala SJK (C) Bertam Ulu menempatkan 24 mangsa daripada sembilan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di daerah Alor Gajah pula, seramai 20 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke dua PPS yang dibuka.
Katanya, PPS Perkim Masjid Tanah menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga, manakala Balairaya Kampung Seri Jeram menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga.
Menurutnya, semua agensi berkaitan terus menjalankan pemantauan di kawasan-kawasan yang terjejas selain memastikan kebajikan mangsa di setiap PPS sentiasa terpelihara.
Justeru katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan berwaspada berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu. – UTUSAN









