Malaysia kecam provokasi Ben-Gvir di Masjid al-Aqsa

Malaysia kecam provokasi Ben-Gvir di Masjid al-Aqsa

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengecam tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir bersama ribuan peneroka haram yang bertindak menceroboh pekarangan Kompleks Masjid al-Aqsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, tindakan itu merupakan provokasi melampau yang mencabul kesucian kiblat pertama umat Islam dan status quo tapak suci berkenaan.

“Pencerobohan keji ini bukan sahaja satu pencabulan terang-terangan terhadap kesucian kiblat pertama umat Islam dan status quo tapak suci tersebut, malah merupakan tindakan sengaja yang biadab bagi membakar sentimen serta mencetuskan provokasi keagamaan secara melampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Ben Gvir mengetuai ratusan penganut Yahudi Israel memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Khamis lalu.

Kunjungan itu bertepatan dengan Tisha B’Av, hari berpuasa dalam kalendar Yahudi bagi memperingati kemusnahan Kuil Pertama dan Kuil Kedua, yang tahun ini disambut bermula malam Rabu hingga Khamis.

Walaupun golongan bukan Islam dibenarkan melawat Masjid al-Aqsa, mereka dilarang sama sekali untuk melakukan sebarang bentuk ibadat berdasarkan perjanjian status quo 1967.

Zulkifli berkata, tindakan berterusan rejim Israel memperlihatkan sikap mereka yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan hak kebebasan beragama.

Katanya, Masjid al-Aqsa merupakan hak umat Islam yang wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan dan pencabulan.

Beliau mendesak badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya bertindak pantas dan tegas bagi menghentikan provokasi serta pencerobohan berterusan di kompleks berkenaan.

“Malaysia kekal teguh bersama perjuangan rakyat Palestin dan menolak tanpa kompromi sebarang tindakan yang mengancam kesucian Masjid al-Aqsa.

“Kami menyeru seluruh umat Islam di tanah air dan serata dunia untuk terus menyatukan fikrah, memperkasakan doa dan menyatakan penentangan tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN