KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta satu lagi pencapaian penting apabila dipilih sebagai lokasi pertama bagi Pusat Pembangunan Global syarikat teknologi kewangan berpangkalan di China, Ant International sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap kestabilan negara serta dasar ekonomi yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Ant International itu merupakan detik penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi digital dan teknologi kewangan di rantau ini.
“Kita bersyukur kerana Ant International telah memilih Malaysia bukan sahaja sebagai salah satu destinasi, malah sebagai lokasi pertama dalam rancangan mereka untuk membangunkan sebuah Pusat Pembangunan Global bertaraf dunia.
“Kita tentunya harus menggunakan dan memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Pembangunan Global Ant International, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pemilihan Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh kestabilan negara, kejelasan dasar kerajaan serta komitmen semua pihak dalam merealisasikan agenda transformasi digital.
“Saya yakin keputusan ini didorong kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara stabil, mempunyai dasar jelas serta kesungguhan daripada kepimpinan negara, penjawat awam, sektor swasta dan golongan profesional muda untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan pusat pembangunan global itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan menerusi kerjasama erat dengan universiti dan pusat penyelidikan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dalam sektor teknologi tinggi.
Menurutnya, teknologi, kewangan dan inovasi bukan matlamat semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan produktiviti, pengukuhan keupayaan tempatan serta peluasan akses kepada perkhidmatan kewangan.
“Teknologi mesti menghasilkan nilai sebenar kepada ekonomi dengan menjana pekerjaan berkualiti, memperkukuhkan keupayaan tempatan, memperluaskan peluang kepada perniagaan dan memastikan tiada mana-mana komuniti yang tercicir daripada menikmati manfaat pertumbuhan,” katanya.
Pusat Pembangunan Global ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Ant International di Malaysia.
Ia mencerminkan keyakinan syarikat bahawa inovasi bertaraf dunia boleh dibangunkan di Malaysia untuk pasaran global, dengan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama erat dengan rakan kongsi daripada sektor awam dan swasta.
Sehingga kini, Ant International telah mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan dalam sektor fintech di Malaysia, dengan lebih 50 peratus daripadanya melibatkan peranan dalam bidang teknologi.
Tenaga kerja ini menyumbang kepada operasi global Ant International dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pembayaran digital, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta teknologi kewangan (fintech).
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan kini sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) bagi melengkapkan kerangka perundangan sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber dan undang-undang perlindungan data.
Beliau berkata, pembangunan AI perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memastikan kepercayaan digital, keselamatan data serta pertimbangan manusia terus menjadi teras kepada setiap keputusan.
“AI mesti dimanfaatkan demi kepentingan rakyat dan negara supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Kita mesti memastikan pertimbangan manusia terus menjadi asas kepada setiap keputusan walaupun mesin menjadi semakin pintar dan canggih,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kerjasama strategik antara Malaysia dan China semakin berkembang bukan sahaja dalam hubungan diplomatik, malah melalui pelaksanaan dasar ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. – UTUSAN










