Malakoff terajui kebangkitan semula Penjanabebas - Utusan Malaysia

Malakoff terajui kebangkitan semula Penjanabebas

Barisan peneraju Malakoff Corporation Berhad (Malakoff)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerajui usaha menghidupkan semula Persatuan Nasional Penjanakuasa Bebas Malaysia (Penjanabebas) selepas persatuan itu kembali aktif menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 yang diadakan di Pusat Latihan Alam Flora, Plaza Sentral, semalam.

Menurut kenyataan Malakoff, AGM tersebut secara rasmi menamatkan tempoh tidak aktif operasi Penjanabebas bagi tempoh 2023 hingga 2025.

“Langkah ini sekali gus menyempurnakan proses penetapan semula berkanun yang mematuhi Akta Pertubuhan 1996 serta meletakkan asas kukuh bagi pemerkasaan strategik persatuan itu.

“Mesyuarat berkenaan turut meluluskan pindaan perlembagaan secara komprehensif bagi memodenkan kerangka tadbir urus Penjanabebas serta menyelaraskan matlamatnya dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

Malakoff berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin telah dipilih sebagai Presiden Penjanabebas bagi penggal 2026/2027 mewakili Tanjung Bin Power Sdn. Bhd.

“Beliau akan dibantu oleh Timbalan Presiden, Mohd. Hedzir Hanafi dari Ranhill Utilities, Setiausaha Kehormat, Mohd. Kopli Yunus dari Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. dan Bendahari Kehormat, Nurshazwani Abd. Malek dari Segari Energy Ventures Sdn. Bhd..

“Lapan Ahli Majlis Biasa turut dipilih membabitkan wakil daripada Malakoff, Edra Power Holdings Sdn. Bhd. dan Ranhill Utilities Berhad,” katanya.

Dalam pada itu, di bawah mandat baru ini, Penjanabebas diposisikan semula sebagai badan industri yang lebih luas dengan skop meliputi bukan sahaja penjanaan kuasa terma konvensional, malah sektor Tenaga Boleh Baharu (RE), Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri, hidrogen, sisa kepada tenaga dan nuklear.

“Persatuan ini juga akan berperanan menyalurkan input berasaskan fakta kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga serta pihak berkuasa berkaitan khususnya mengenai mekanisme tarif, kerangka Akses Pihak Ketiga dan hala tuju teknologi.

“Penjanabebas turut memulakan lembaran baharu dengan kedudukan kewangan yang kukuh selepas laporan akaun bagi tempoh 2023 hingga 2025 menerima pendapat audit tanpa teguran.

Sementara itu, Syahrunizam Samsudin berkata, pengaktifan semula Penjanabebas berlaku pada masa yang tepat ketika industri memerlukan satu suara kolektif yang lebih kukuh bagi mewakili kepentingan pemain industri.

“Penjanabebas sentiasa memainkan peranan penting dalam landskap tenaga Malaysia dan kami komited untuk memberikan matlamat serta hala tuju baharu yang sewajarnya.

“Di bawah mandat baru ini, kami melihat Penjanabebas memikul tiga fungsi utama iaitu sebagai suara kolektif yang menyokong keselamatan dan kestabilan tenaga negara, platform memacu usaha penyetempatan bakat serta perkhidmatan dalam sektor tenaga, dan badan yang menghubungkan keseluruhan rantaian bekalan termasuk aspek pembiayaan, pelesenan, kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta pentauliahan (EPCC),” katanya.

Beliau berkata, Penjanabebas juga bersedia bekerjasama rapat dengan kerajaan dan badan kawal selia dalam membentuk hala tuju masa depan tenaga negara termasuk Tenaga Boleh Baharu dan nuklear bagi memperkukuhkan keselamatan tenaga, kemampuan kos serta kelestarian.

“Dengan kepimpinan baharu itu, Penjanabebas akan memberi tumpuan kepada penubuhan urusetia yang akan dihoskan oleh Malakoff di samping memperkukuh hubungan dua hala dengan kerajaan dan pihak berkuasa berkanun.

“Kebangkitan semula Penjanabebas mencerminkan komitmen berterusan Malakoff sebagai penjana kuasa bebas terbesar negara dalam membekalkan tenaga yang boleh dipercayai kepada masyarakat dan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN