PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim bicara kes melibatkan rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion dihadapinya.
Semakan itu berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.
Ini selepas hakim itu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah, 74, bersalah bagi kes rasuah melibatkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi selepas mendapati permohonan itu tidak memenuhi ambang yang ditetapkan mengikut Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Katanya, mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan di bawah Aturan 137 tetapi kuasa itu mesti dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.
“Mahkamah mesti mengawal ketat permohonan sedemikian dan tidak boleh menggunakan aturan ini secara sewenang-wenangnya atau sebagai hak rayuan umum. Ia tidak boleh digunakan untuk mengubah keputusan muktamad.
“Atas alasan-alasan yang telah dinyatakan, kami mendapati bahawa perkara ini tidak memenuhi ambang yang ditetapkan dalam Aturan 137 dan dengan ini permohonan semakan tersebut ditolak,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng dan Datuk P. Ravinthran.
Pada 3 Mac lalu, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan untuk menggugurkan hakim terlibat.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan mendapati, Mohamed Zaini mematuhi Kod Etika Kehakiman 2009 dan tiada sebarang kekhilafan berlaku yang mewajarkan campur tangan mahkamah tertinggi itu.
Nordin berkata, kewujudan draf penghakiman bukan subjek pertikaian kerana isu utama adalah sama ada wujud elemen berat sebelah yang kononnya telah dirujuk oleh hakim bicara dalam draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga.
Selepas meneliti kedua-dua penghakiman, panel terbabit mendapati terdapat perbezaan ketara antara draf penghakiman yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-UTUSAN










