Lima tawaran Dr. Naqib untuk Panti - Utusan Malaysia

Lima tawaran Dr. Naqib untuk Panti

DR. Naqib Ghazali bersama orang ramai ketika berkempen baru-baru ini di DUN Panti, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PERNAH terlibat dalam pengurusan Covid-19, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, DR. NAQIB GHAZALI kini memilih meninggalkan kerjaya profesional demi menceburi dunia politik.

Berbekalkan pengalaman dalam pentadbiran, pengurusan krisis serta latar belakang sebagai anak tempatan, beliau bertekad membawa perubahan dan memperjuangkan keperluan rakyat di kawasan tersebut.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI bertanyakan aspirasi, keutamaan dan faktor yang diketengahkan Naqib sebagai calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

UTUSAN MALAYSIA: ­Mengapa penting anak tempatan ber­khid­mat di kawasan sendiri?
DR. NAQIB: Pertama sekali sudah tentu calon anak tempatan tahu isu hati dan kehendak masyarakat setempat.
Kalau cakap anak tempatan tapi tidak tinggal di situ atau membesar di kawasan ber­kenaan, tiada gunanya sebab dia tidak nampak proses kemajuan perubahan dan kemajuan yang berlaku di situ.
Saya sendiri bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Semang­gar, Kota Tinggi. Pada masa itu, keadaan sekolah sangat sederhana. Dindingnya diperbuat daripada papan, malah ada yang boleh masuk melalui pintu atau tingkap.
Namun, hari ini, sekolah ter­sebut sudah berkembang menjadi bangunan tiga tingkat dan ada pembangunan. Begitu juga dengan Balai Bomba Bandar Tenggara daripada tiada, sekarang sudah ada. Jadi kita nampak proses perubahan dan kita tahu apa sebenarnya yang masyarakat setempat mahukan dan keperluan mereka.

Bagaimana pengalaman ketika menjadi antara individu penting terlibat mengurus krisis Covid-19 terutama di DUN Panti?
Pengalaman saya bekerja di Kementerian Kesihatan sebelum ini menjadikan saya faham bahawa kadang-kadang membuat satu keputusan tidak semestinya betul. Sesuatu perancangan perlu mengambil kira pandangan rakyat juga. Kerana mereka tahu apa yang diperlukan dan yang perlu dijadikan keutamaan.
Selain itu, pengalaman saya bekerja bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa Covid-19 menunjukkan beliau seorang yang sangat tegas dan jelas dalam membuat keputusan. Jika beliau berkata, ‘saya mahu perkara ini selesai esok’, maka itulah tindakan yang perlu dilaksanakan sekiranya saya jadi wakil rakyat.

Apakah manifesto seandai­nya menang dalam PRN Johor?
Lima perkara utama sekiranya diberi mandat oleh rakyat. Pertama, saya mahu mewujudkan platform yang memudahkan rakyat menyampaikan aduan kepada wakil rakyat. Kedua, saya mahu memperluas­kan liputan jalur lebar serta meningkatkan capaian internet di seluruh kawasan DUN Panti.
Ketiga ialah memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur, termasuk kemudahan pendidikan, jalan raya, lampu jalan, dewan orang ramai serta pelbagai kemudahan awam yang lain.
Keempat, saya mahu perkasa sektor pelancongan sedia ada di kawasan ini. DUN Panti mempunyai pelbagai potensi pelanco­ngan.
Kelima, mencari penyelesai­an terhadap isu generasi kedua dan ketiga Felda, khususnya berkaitan pembinaan rumah di atas tapak peneroka atau tanah milik ibu bapa. Isu ini memerlukan perhatian serius kerana ia melibatkan keperluan perumahan generasi baharu Felda.

Apakah faktor yang mendorong Dr. me­ninggal­kan kerjaya untuk bertanding dalam PRN Johor?
Kepuasan apabila dapat membantu orang susah. Sebabnya saya sendiri pernah berada dalam situa­si sedemikian. Tidak malu saya katakan ba­hawa pernah satu ketika, se­lama setahun saya tidak mempunyai elektrik di rumah kerana bekalan dipotong.
Pengalaman seperti ini me­ngajar saya bagaimana rakyat biasa berdepan dengan caba­ran kehidupan. Ia menjadikan saya lebih memahami realiti di bawah dan lebih sensitif terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Harapan Dr. untuk pengundi DUN Panti?
Rakyat memilih dengan memahami dan menilai secara teliti, tanpa dipengaruhi emosi. Politik sering dikaitkan dengan emosi. Jika seseorang pandai mengurus dan mempengaruhi emosi rakyat, maka mereka boleh mendapat sokongan.
Namun, pada pandangan saya, politik lebih daripada itu, ia perlu dinilai secara rasional dan berasaskan fakta.
Yang paling penting memilih pemimpin anak tempatan yang mampu memberi manfaat kepada pendu­duk setempat dan membawa perubahan po­sitif kepada kawasan ter­sebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN