Lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah miliki 11 pasport orang lain

Lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah miliki 11 pasport orang lain

SALMAN Mallik dikawal anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah kerana memiliki 11 pasport warga Bangladesh lain di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 11 pasport milik warganegara itu tanpa kuasa yang sah, bulan lalu.

Tertuduh, Salman Mallik, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 11 pasport warganegara Bangladesh yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kuasa yang sah di sebuah kedai Salimun Enterprise di Taman Senangin, di sini kira-kira pukul 7 malam, 27 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa menawarkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin warga Malaysia. Namun, peguam tertuduh, Lim Sheng Zhe memohon jaminan lebih rendah dengan alasan tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan serta hadir ke mahkamah pada setiap prosiding yang ditetapkan.

Beliau berkata, pasport tertuduh juga sudah ditahan oleh Mahkamah Alor Setar berhubung satu lagi kes, selain tertuduh menanggung kos rawatan isterinya dan perlu kembali menjaga wanita itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin warga tempatan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 September depan.

Pada 14 Julai lalu, akhbar melaporkan Polis Kedah membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai mengeluarkan permit kerja dan kad pelarian UNHCR palsu selepas menahan 24 individu dalam beberapa siri serbuan di sekitar Kulim, bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan di empat lokasi iaitu kedai runcit, kedai komputer dan rumah yang dijadikan tempat penginapan sementara warga asing berjaya menahan 19 lelaki Bangladesh, tiga lelaki Rohingya, seorang wanita Rohingya dan seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 52 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket ini dipercayai dikendalikan seorang warga Bangladesh yang memiliki dokumen perjalanan lengkap dan berkahwin dengan wanita tempatan berusia 69 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN