Laporan penuh letupan bom diserah pertengahan Julai

Laporan penuh letupan bom diserah pertengahan Julai

MOHAMED Khaled Nordin bergambar ketika menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Felda Air Tawar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Laporan penuh siasatan berhubung insiden letupan bom tangan yang mengorbankan dua anggota tentera di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah dijangka diserahkan kepada Kementerian Pertahanan pada pertengahan bulan ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh sebelum menentukan sebarang tindakan lanjut.

“Saya difahamkan laporan itu akan diserahkan pada pertengahan bulan ini. Insya-Allah dan saya akan laporkan,” katanya selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Masjid Jamek Al-Faizin, Felda Air Tawar 2 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini kes letupan bom tangan di Gurun bulan lalu.

Sebelum ini, dua anggota Tentera Darat (TDM) maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart.

Polis kemudian melengkapkan siasatan kes itu sebelum menyerahkannya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tindakan dan siasatan lanjut.

Selain itu, satu lagi insiden berlaku pada 29 Julai lalu sehingga menyebabkan dua anggota tentera cedera di bahagian kaki ketika menjalani latihan menembak di kem sama.

Mengulas sama ada prosedur operasi standard (SOP) latihan sedia ada perlu dikaji semula, Mohamed Khaled berkata, TDM diarah menilai semula pendekatan latihan dilaksanakan susulan dua insiden letupan yang berlaku di kem sama.

“Kita telah minta supaya pihak TDM untuk menilai kembali pendekatan latihan yang dilakukan termasuk insiden kedua yang berlaku di kem sama.

“Kita juga perlu lihat sama ada, ada apa-apa kelemahan lain dan sebagainya. Semua ini hanya akan kita buat keputusan selepas terima segala (hasil) siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN