BAGAN DATUK: Laporan bedah siasat ke atas kanak-kanak lelaki yang ditemukan dalam sebuah parit di kawasan kebun kelapa sawit di Sungai Sumun, Hutan Melintang semalam, mendapati punca kematian disebabkan lemas.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Teluk Intan.
Katanya, pemeriksaan turut mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa atau petunjuk yang menunjukkan wujud unsur jenayah.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa berusia enam tahun yang merupakan seorang kanak-kanak istimewa (autisme) pada pukul 4.54 petang.
Katanya, siasatan mendapati mangsa kali terakhir dilihat berada di ruang tamu rumah di Kampung Baru, Sungai Sumun oleh bapanya sebelum disedari hilang.
“Usaha pencarian pada mulanya dijalankan oleh ahli keluarga mangsa dan penduduk sekitar namun gagal menemukan kanak-kanak itu.
“Polis kemudian membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa.
“Mangsa akhirnya ditemukan terapung di dalam sebuah parit, kira-kira 330 meter dari rumahnya sekitar pukul 10 malam dalam keadaan masih berpakaian lengkap,” katanya.
Tambah beliau, operasi SAR dijalankan dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan penduduk setempat.
Terdahulu media melaporkan, mayat seorang kanak-kanak Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah ditemukan orang awam selepas operasi SAR digerakkan pasukan penyelamat bagi mengesan mangsa. – UTUSAN










