Laluan sekitar Jalan U Thant ditutup hingga Januari 2027 bermula Isnin

Laluan sekitar Jalan U Thant ditutup hingga Januari 2027 bermula Isnin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa laluan di sekitar Jalan U Thant ditutup sementara bermula Isnin ini hingga 31 Januari 2027 bagi memberi laluan kepada kerja pemasangan paip bawah tanah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, penutupan itu membabitkan laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak berhampiran Regal House, selain laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf berhampiran Kedutaan Iraq.

Katanya, Jalan Langgak Golf turut dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak sepanjang tempoh berkenaan.

“Pengguna jalan raya dari arah Jalan Tun Razak yang ingin menuju ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf hendaklah menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.

“Selain itu, pengguna jalan raya dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak hendaklah menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan trafik yang disediakan.

Katanya, pengguna turut digalakkan menggunakan laluan yang ditetapkan mengikut pelan pengurusan trafik serta memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan kerja pembinaan.

“Kerjasama dan kesabaran semua pengguna jalan raya amat dihargai bagi memastikan pelaksanaan projek ini dapat disempurnakan dengan lancar, selamat dan mengikut jadual.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pihak berkaitan di talian 012-264 2310,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN