Kuasa bukan satu keistimewaan untuk dinikmati - Sultan Nazrin

Kuasa bukan satu keistimewaan untuk dinikmati – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2026 (WCIT 2026) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Hotel Casuarina Meru, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Negara mungkin memiliki sumber melimpah ruah namun tetap akan gagal membela rakyatnya jika institusinya lemah, pemimpinnya tidak jujur atau politiknya dikuasai oleh kepentingan peribadi berbanding bakti kepada masyarakat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pemikiran politik Islam sentiasa meletakkan penekanan yang amat besar kepada konsep amanah.

“Dalam tradisi Islam, kuasa bukan satu keistimewaan untuk dinikmati; ia adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan pemegang amanah tersebut akhirnya akan dipertanggungjawabkan.

“Nabi Muhammad mengingatkan para sahabat baginda bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab ke atas pimpinannya,” titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2026 (WCIT 2026) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, tadbir urus yang baik bermaksud penyelarasan mewujudkan institusi yang cukup kukuh untuk bertahan melampaui tempoh mana-mana pemimpin atau pentadbiran individu.

“Ia juga bermakna sebuah budaya politik di mana perbezaan pendapat diuruskan dengan berhemah, pihak pembangkang dilayan sebagai ejen semak dan imbang yang sah, bukannya sebagai musuh, peralihan kuasa berlaku secara aman apabila rakyat memutuskan sedemikian.

“Kestabilan politik, jika difahami dengan betul, bukanlah bermaksud ketiadaan perdebatan. Beberapa negara paling stabil di dunia juga merupakan antara negara paling lantang berhujah, justeru kerana perbezaan pendapat mereka disalurkan melalui institusi yang sah dan bukannya melalui jalanan atau keganasan,” titah baginda.

Baginda bertitah, apabila rakyat tidak lagi mempercayai bahawa pilihan raya adalah adil, mahkamah adalah bebas maka struktur negara akan mula rapuh dan golongan yang paling rentan, miskin, terpinggir, tiada suara menjadi mangsa paling terkesan.

“Inilah sebabnya prinsip bahawa ‘setiap insan bermakna’ mesti bermula dari dewan-dewan kerajaan. Sesuatu bajet atau belanjawan itu merupakan sebuah dokumen moral sehinggalah ia menjadi sebuah dokumen kewangan, mendedahkan, dalam istilah yang paling nyata, keperluan siapakah yang dipilih untuk diutamakan oleh sesebuah kerajaan.

“Pemimpin yang memerintah dengan penuh tawaduk, mendengar sebelum mereka menggubal undang-undang, mengingati bahawa kuasa adalah sesuatu yang dipinjam dan bukannya dimiliki akan lebih berjaya menjamin kesetiaan serta kebanggaan rakyat mereka berbanding apa-apa slogan sekalipun,” titah baginda. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN