PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, mengumumkan pertukaran 26 pegawai kanannya termasuk Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim yang dilantik Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, dengan pangkat Komisioner Polis (CP).
Muhammad Halim, dijadual memulakan tugas baharunya bermula 3 Ogos ini.
Turut dinaikkan pangkat adalah Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd Taufik Toh Abdullah sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohamad Farouk Eshak, pula dilantik Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).
Dua lagi pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dinaikkan pangkat DCP adalah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin, sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Penolong Pengarah E4A, Cawangan Khas Bukit Aman, Roslan Alias, dilantik Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Lim San Aik, dilantik Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Sabah, dengan pangkat sama.
Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, 13 pegawai kanan berpangkat Asisten Komisioner (ACP) turut bertukar jawatan dan dilantik sebagai SAC.
“Pertukaran ini membabitkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur baharu; Ketua Polis Daerah Sentul, Basri Sagoni, dilantik Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Zulkarnain Samsudin dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
“Turut dinaikkan pangkat SAC adalah Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Kuala Lumpur, Kamaruzaman Md Alib, dilantik Penolong Pengarah E1A, Cawangan Khas Bukit Aman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Haslah Bachok, sebagai Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Kumarasan Muniandy, sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak,” katanya.
Katanya, tujuh lagi pegawai kanan yang berpangkat Superintendan, turut diumumkan bertukar dan dinaikkan pangkat kepada ACP.
Semua pertukaran dan kenaikan berkuat kuasa 1 September depan.- UTUSAN









