KGMMB: Kenaikan pangkat perlu beri manfaat kepada semua guru

KGMMB: Kenaikan pangkat perlu beri manfaat kepada semua guru

Mohd.Sobri Yusuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berharap mekanisme baharu kenaikan pangkat penjawat awam dapat memberi manfaat kepada semua lapisan guru tanpa mengira gred dan lokasi perkhidmatan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd.Sobri Yusuf berkata, guru yang telah lama berkhidmat, menunjukkan prestasi cemerlang serta memenuhi syarat sewajarnya diberikan laluan kenaikan pangkat yang lebih cepat dan telus.

“KGMMB turut mencadangkan agar kerajaan memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang telah lama dibangkitkan oleh warga pendidik, termasuk peluang kenaikan pangkat Guru Besar dan Pengetua, penyelesaian isu pegawai yang telah lama berada pada gred yang sama, serta penyediaan laluan kerjaya yang lebih jelas bagi semua guru.

“KGMMB percaya kepimpinan Perdana Menteri, bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam, akan memperhalusi pelaksanaan dasar ini agar benar-benar memberi impak positif kepada lebih 400,000 warga pendidik di seluruh negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam kerajaan mengarahkan proses kenaikan pangkat penjawat awam yang mengambil masa terlalu lama dipercepatkan bagi memastikan kebajikan golongan itu terus dipelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada penja­wat awam bahawa terdapat ka­tegori perkhidmatan yang ter­paksa menunggu sehingga lapan tahun untuk menikmati kenaikan pangkat.

Beliau berkata, perkara tersebut dibangkitkan menerusi sesi libat urus antara Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bersama penjawat awam.

Mohd.Sobri berkata, kebajikan guru yang terpelihara akan melahirkan guru yang lebih bermotivasi dan profesional berupaya memberikan perkhidmatan pendidikan terbaik demi masa depan anak-anak Malaysia.

“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan serta pembangunan kerjaya warga perkhidmatan awam, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi dan produktiviti.

“Bagi sektor pendidikan, KGMMB berpandangan bahawa pelaksanaan dasar ini perlu diterjemahkan secara adil kepada warga pendidik yang selama ini menjadi tunjang pembangunan modal insan negara,”ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN