Kesuma teliti cadangan tubuh Pusat Rehabilitasi Perkeso di Sarawak

Kesuma teliti cadangan tubuh Pusat Rehabilitasi Perkeso di Sarawak

KHAIRUL FIRDAUS AKBAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memperhalusi cadangan penubuhan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Sarawak menerusi kajian terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat.

Timbalan Menterinya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kajian itu perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk impak sosioekonomi, kemampanan dana organisasi, faktor geografi, keperluan semasa dan keutamaan kepentingan.

“Penubuhan sebuah pusat rehabilitasi perubatan dan vokasional yang lengkap dengan kemudahan teknologi rehabilitasi memerlukan peruntukan kos pembangunan yang besar. 

“Selain itu, perkhidmatan sokongan lain daripada hospital yang berdekatan dan hospital pakar juga perlu dilihat dan diambil kira,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Larry Anak Asap sama ada kementerian berhasrat menubuhkan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Sarawak.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, Perkeso telah mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menyediakan dan memperluaskan program serta kemudahan rehabilitasi di Sarawak menerusi Hospital Pengajar UNIMAS.

Selain kerjasama itu, beliau berkata, Perkeso turut mempunyai 14 panel Pusat Rehabilitasi Perkeso di seluruh Sarawak bagi menyediakan perkhidmatan rehabilitasi kepada pencarum.

“Antara panel berkenaan ialah DBC Asia Healthcare Sdn. Bhd. dan TAGS Chiropractic & Rehabilitation di Kuching, Rejang Healthcare Centre Sdn. Bhd. serta Health & Life Physiotherapy Centre di Sibu, selain Kemena Pacific Hospital di Bintulu dan Selesa Pacific Hospital di Miri.

“Inisiatif itu memberi manfaat kepada 756,403 pencarum Perkeso di Sarawak yang mencarum di bawah Skim Lindung Pekerja, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) bagi mendapatkan faedah rawatan rehabilitasi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN