PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta berkaitan kes rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion ditangguhkan ke September ini.
Rayuan yang tertangguh sejak 2022 itu sepatutnya didengar selama tiga hari bermula hari ini.
Pendengaran itu bagaimanapun ditangguhkan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli dan bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Hakim Muniandy Kannayappan sebulat suara membenarkan permohonan oleh peguam Jagjit Singh.
Terdahulu, Jagjit yang mewakili Rosmah memohon penangguhan tersebut atas alasan terdapat semakan yang dikemukakan oleh pihaknya berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar dan mensabitkan beliau dalam kes rasuah itu.
“Pada 9 Oktober 2024, kami telah menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan rayuan kes rasuah ini ditangguhkan sehingga rayuan berhubung permohonan gugur hakim itu selesai.
“Pada 10 Oktober 2024, Presiden Mahkamah Rayuan telah membalas surat kami dan membenarkan agar rayuan kes rasuah ini ditangguhkan sehingga rayuan berhubung permohonan gugur hakim selesai sepenuhnya. Semakan terhadap permohonan gugur hakim itu akan didengar 29 Julai ini,” kata peguam itu.
Jagjit kemudian tiba-tiba menangis teresak-esak apabila mengemukakan alasan kedua permohonan penangguhan tersebut.
“Seperti yang panel maklum, peguam bersama, Datuk Akberdin Abdul Kader telah ditimpa tragedi baru-baru ini. Anak lelakinya, Adli Hakim, telah meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Akberdin tidak ubah seperti seorang adik bagi saya. Dia masih lagi dalam keadaan bersedih dan berduka serta berkabung atas pemergian anaknya. Seperti yang Yang Arif dapat lihat, semua dokumen rayuan ini disediakan olehnya tetapi beliau tidak dapat hadir ekoran tragedi yang berlaku.
“Saya perlukan bantuan peguam lain untuk membantu saya dalam rayuan ini. Saya perlukan dia (Akberdin),” kata Jagjit dalam keadaan sebak.
Anak Akberdin, Adli Hakim, 24, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), adalah antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 34, Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai memaklumkan mahkamah beliau mendapat arahan untuk membantah terhadap penangguhan tersebut.
“Arahan kami adalah untuk membantah terhadap penangguhan kerana kes telah tertangguh sejak 2022. Seperti yang Yang Arif nyatakan tadi, kes ini kes lama. Berhubung alasan berkait dengan Akberdeen, saya serahkan kepada budi bicara mahkamah,” kata pendakwa raya itu.
Dalam penghakiman ringkas berhubung permohonan itu, Hakim Azhahari menyatakan, berdasarkan surat oleh Presiden Mahkamah Rayuan menunjukkan bahawa semua perkara berkaitan permohonan gugur hakim itu perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kami berpandangan bahawa surat jawapan oleh Presiden Mahkamah Rayuan bertarikh 10 Oktober 2024 itu perlu ditafsirkan bahawa rayuan utama (kes rasuah solar) perlu ditangguhkan sehingga permohonan gugur hakim itu telah menggunakan segala saluran yang ada termasuk permohonan semakan, sementara menunggu pendengaran dan pelupusan permohonan semakan tersebut.
“Alasan ini termasuk keadaan peguam bersama (Akberdin) yang sedang menjalani dugaan besar dalam hidupnya, kami benarkan penangguhan ini.
“Bagaimanapun, memandangkan kes ini telah berlanjutan daripada 2022, kami tidak akan berkompromi dengan tarikh-tarikh baharu pendengaran rayuan utama yang kami akan tetapkan. Tiada lagi penangguhan akan diberikan. Kami serius dengan perkara ini,” tegas hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 hingga 4, 8 hingga 11, dan 21 hingga 30 September ini untuk pendengaran rayuan kes rasuah solar.
“Rayuan ini perlu bermula pada 1 September ini. Seperti yang saya nyatakan tadi, tiada lagi penangguhan akan diberikan,” ujar Hakim Azhahari.
Rosmah memfailkan semakan tersebut ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lalu menolak rayuannya atas alasan Hakim Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009.
Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini atas dakwaan draf penghakiman yang disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bocor di media sosial beberapa jam sebelum beliau menyampaikan keputusan di akhir pembelaan pada 1 September 2022.
Selepas menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan dirinya, Hakim Mohamed Zaini mensabitkan wanita itu dengan kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid itu bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Beliau telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, dengan tambahan tempoh pemenjaraan selama 30 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu pelupusan rayuan.
Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.










