ALOR SETAR: Polis Kedah mengakui berlaku peningkatan kes jenayah melibatkan etnik Rohingya dan warga Myanmar lain di negeri ini, namun majoriti kes yang direkodkan membabitkan konflik sesama mereka serta tidak melibatkan masyarakat tempatan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 17 kes melibatkan 18 tangkapan direkodkan pada 2023 sebelum menurun kepada 14 kes dengan 23 tangkapan pada 2024.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu meningkat kepada 65 kes membabitkan 75 tangkapan pada tahun lalu, manakala bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 39 kes telah direkodkan.
“Bagi kes jenayah kekerasan termasuk bunuh dan mendatangkan kecederaan, siasatan mendapati ia kebanyakannya berlaku sesama mereka sendiri dan tidak melibatkan orang tempatan.
“Contohnya kes bunuh yang direkodkan tahun lalu, ia berpunca daripada pergaduhan sesama mereka selepas mengambil minuman keras dan berlaku perselisihan sehingga membawa kepada kematian,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, selain kes bunuh, antara kesalahan lain yang sering direkodkan membabitkan kumpulan berkenaan ialah kes curi, penyeludupan rokok dan arak tidak bercukai, perjudian serta pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Dalam perkembangan berkaitan, Adzli berkata, polis turut memperhebat usaha membanteras kegiatan penyeludupan migran dengan menahan 116 tekong dan ahli sindiket sejak 2023.
Katanya, sebanyak 25 tekong ditahan bersama 125 migran pada 2023, diikuti 44 tekong dan 171 migran pada 2024 serta 47 tekong dan 222 migran pada 2025.
“Bagi tahun ini sahaja sehingga Jun, kita sudah menahan 37 tekong dan ahli sindiket bersama 246 migran. Sebahagian besar tekong yang ditangkap adalah warga tempatan, selain terdapat juga warga Rohingya, Bangladesh dan Thailand yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hasil kawalan ketat di kawasan perairan Langkawi sejak dua bulan lalu berjaya mengekang pendaratan migran secara besar-besaran seperti yang berlaku sebelum ini.
Namun katanya, sindiket kini dikesan mengubah modus operandi dengan menggunakan bot berskala kecil sebelum mendarat di kawasan lain seperti Kuala Kedah, Kerpan, Yan dan Kuala Muda.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat khususnya golongan nelayan agar tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia yang menawarkan bayaran lumayan bagi membantu membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat termasuk bekas anggota penguat kuasa atau penjawat awam yang membantu kegiatan tersebut,” katanya. – UTUSAN










