Kerajaan teliti cadangan akses segera Suhakam ke pusat tahanan - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti cadangan akses segera Suhakam ke pusat tahanan

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan membolehkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diberikan akses segera ke pusat-pusat tahanan bagi memperkukuh fungsi pemantauan badan hak asasi manusia negara itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, perbincangan telah diadakan dengan agensi serta pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menangani peraturan sedia ada yang menyebabkan kelewatan lawatan Suhakam ke lokasi seperti penjara, depot tahanan imigresen dan lokap polis.

“Siri perbincangan sudah dan sedang dibuat bersama agensi serta pihak berkaitan. Saya juga difahamkan pendirian mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

“Biarpun SUHAKAM tidak diberi akses serta-merta untuk melawat depoh tahanan ketika ini, mereka bagaimanapun ada bidang kuasa untuk kawal selia ketika sesi pendengaran awam dijalankan.

“Mereka juga dibenarkan membuat syor tertentu, selain ini menunjukkan elemen semak dan imbang masih berlaku,” katanya pada di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai kemungkinan SUHAKAM diberi akses serta-merta untuk melawat depoh tahanan.

Tambah Kulasegaran, kerajaan bertanggungjawab menyediakan pembiayaan mencukupi bagi membolehkan institusi hak asasi manusia melaksanakan mandat secara bebas dan berkesan.

Katanya, ini selari prinsip-prinsip berkaitan Status Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau dikenali Prinsip Paris, menetapkan piawaian minimum antarabangsa bagi memastikan institusi berkenaan berfungsi secara berkesan dan berwibawa.

Beliau berkata, subseksyen 19(1) Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597) juga memperuntukkan kerajaan menyediakan dana tahunan mencukupi kepada suruhanjaya berkenaan.

“Selain peruntukan tahunan kerajaan, subseksyen 19(3) Akta 597 membenarkan SUHAKAM menerima sumbangan kewangan daripada individu atau pertubuhan bagi memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan berkaitan hak asasi manusia diluluskan suruhanjaya.

“Bagaimanapun, Akta 597 tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada SUHAKAM untuk mengenakan caj atau fi bagi pelaksanaan latihan hak asasi manusia bagi menampung kos pelaksanaan.

“Usaha memperkasa SUHAKAM akan terus diperkukuh supaya mereka dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya secara bebas, berkesan dan selaras standard antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN