PUTRAJAYA: Kerajaan yakin momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan dan sasaran pertumbuhan antara 4.0 hingga 5.0 peratus mampu dicapai tahun ini disokong prestasi semasa ketika ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keutamaan kerajaan adalah untuk terus memperkukuh permintaan
domestik, pelaburan swasta dan prestasi eksport, di samping memastikan kenaikan harga barangan terus dibendung dan kebajikan rakyat sentiasa dilindungi.
Beliau berkata, sehingga 3 Julai lalu, ringgit telah mengukuh 8.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat daripada paras akhir 2025.
“Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi tahun 2026.
“Malaysia ialah sebuah ekonomi terbuka dan tidak terkecuali daripada kesan turun naik harga tenaga, perubahan dasar perdagangan serta gangguan laluan perkapalan.
“Namun, petunjuk ekonomi bagi separuh pertama tahun ini menunjukkan asas negara kekal kukuh dan berdaya tahan,” katanya menerusi Taklimat Krisis Bekalan Global sejurus mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Katanya, ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri, sektor perkhidmatan dan pembuatan, serta eksport elektrik dan elektronik yang kekal berdaya tahan.
Akmal berkata, anggaran awal KDNK suku kedua 2026 akan diumumkan pada 17 Julai 2026, manakala angka rasmi akan diterbitkan pada 14 Ogos 2026.
“Inflasi pada Mei 2026 kekal terkawal pada 2.0 peratus, berbanding 1.9 peratus pada April. Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan indeks bagi kumpulan makanan dan minuman kepada 1.4 peratus berbanding 1.2 peratus pada April 2026.
“Di samping kumpulan pengangkutan, insurans dan perkhidmatan kewangan serta penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masih mencatatkan kadar yang tinggi iaitu antara 3.8 peratus daripada 4.9 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.
Katanya, prestasi perdagangan terus memberangsangkan dimana bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan meningkat 18.3 peratus kepada hampir RM1.5 trilion.
Jelasnya lagi, eksport pula berkembang 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion manakala, import meningkat 11.8 peratus kepada RM661.1 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM132.8 bilion.
“Kesemua petunjuk ini mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh Januari hingga Mei lalu,” katanya. – UTUSAN










