Kerajaan negeri minta orang ramai waspada sindiket tipu urusan permohonan tanah

Kerajaan negeri minta orang ramai waspada sindiket tipu urusan permohonan tanah

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengesan sindiket penipuan urusan permohonan tanah di daerah Bentong melibatkan tanah milik kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sindiket itu menawarkan urusan pemberimilikan tanah dengan meminta orang ramai membuat bayaran dan menandatangani dokumen sebelum prosesnya dilakukan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri tiada melantik mana-mana individu, ejen ataupun syarikat untuk menjalankan urusan pemberimilikan tanah kerajaan negeri di luar prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Rosdy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau melakukan apa-apa urusan berkaitan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.

“Orang ramai yang merasakan dirinya tertipu diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan negeri Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang. Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN