PETALING JAYA: Kegagalan mengenal pasti murid yang berdepan masalah emosi dan tingkah laku lebih awal antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan insiden pelajar terjatuh di sekolah.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, guru bimbingan dan kaunseling perlu memainkan peranan lebih proaktif mengenal pasti murid yang menunjukkan perubahan emosi atau kecenderungan kepada tingkah laku berisiko supaya intervensi dapat dilakukan sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Katanya, usaha itu perlu disokong dengan kerjasama ibu bapa kerana pengurusan murid berisiko tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah semata-mata.
“Persoalannya, mengapa kejadian seperti ini semakin kerap berlaku sedangkan sistem persekolahan dan bangunan yang digunakan hari ini pada asasnya sama seperti dahulu.
“Kita perlu melihat sama ada terdapat perubahan dari sudut emosi atau tingkah laku murid yang memerlukan perhatian lebih awal.
“Guru bimbingan perlu mengenal pasti murid yang berisiko dan ibu bapa juga perlu bekerjasama bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, media melaporkan, Pensyarah kejuruteraan awam, Dr. Noor Azim Mohd. Radzi berkata, aspek keselamatan bangunan dan infrastruktur sekolah di negara ini perlu ditambah baik bagi mengelak insiden pelajar terjatuh dari tempat tinggi daripada terus berulang.
Menurut beliau, koridor, tangga dan dinding penghadang di setiap tingkat perlu diberikan keutamaan kerana merupakan kawasan yang sering menjadi tumpuan pelajar berkumpul serta mempunyai risiko lebih tinggi sekiranya ciri keselamatan tidak memenuhi keperluan semasa.
Mengulas mengenai situasi itu, Fouzi berkata, jika isu itu dikaitkan sepenuhnya dengan risiko struktur bangunan, hampir semua sekolah di negara ini sebenarnya berdepan keadaan yang sama kerana kebanyakannya mempunyai koridor dan kaki lima terbuka.
Sehubungan itu, katanya, cadangan melaksanakan audit keselamatan fizikal di semua sekolah bukanlah penyelesaian yang mudah memandangkan pelaksanaannya melibatkan kos yang tinggi terhadap lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.
Menurut beliau, banyak sekolah ketika ini masih berdepan isu penyelenggaraan asas seperti tingkap nako rosak yang belum dapat dibaiki, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan melaksanakan penambahbaikan berskala besar sekiranya audit keselamatan dilakukan.
“Malah, audit itu juga berkemungkinan mendedahkan pelbagai kelemahan fizikal seperti struktur bangunan lama, pendawaian elektrik usang, kawasan tersorok dan amalan keselamatan yang kurang diberi perhatian sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, aspek kawalan murid dan pematuhan terhadap peraturan sekolah perlu diperkukuhkan kerana ia merupakan antara langkah paling penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Katanya, budaya Sekolah Selamat juga perlu dijadikan amalan wajib dalam kalangan seluruh warga sekolah, selain semua pihak berkepentingan perlu dilibatkan dalam memperkukuh pelaksanaan dasar berkenaan.
Beliau turut mencadangkan Kementerian Pendidikan mewujudkan satu jawatan khusus berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi merancang serta memantau pelaksanaan program keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Selain itu, katanya, elemen keselamatan perlu dijadikan komponen wajib dalam setiap pelan pembinaan sekolah baharu supaya aspek keselamatan diberi perhatian sejak peringkat reka bentuk lagi. – UTUSAN










