KUALA LUMPUR: Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 78.1 peratus sehingga 31 Mei lalu, sekali gus mencatatkan perbezaan 7.11 peratus berbanding sasaran perancangan yang ditetapkan iaitu 85.21 peratus.
Kementerian Pertahanan berkata, projek pembinaan aset pertahanan negara untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu juga mencatatkan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM8.457 bilion, iaitu 76.2 peratus daripada nilai keseluruhan projek.
“Keputusan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia tidak memberi kesan kepada jadual penyerahan kapal-kapal LCS seperti yang telah dijamin oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) kepada MINDEF,” dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Kementerian itu berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung status terkini projek LCS, termasuk jumlah keseluruhan dana awam yang telah dibelanjakan sehingga 31 Mei, keperluan kos tambahan bagi menyiapkan projek berkenaan serta jaminan penyerahan kapal pertama kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Disember ini.
Kementerian itu berkata, LCS masih mempunyai pelbagai keupayaan seperti peperangan antikapal selam, peperangan anti udara dan peperangan elektronik serta Combat Management System (CMS) yang mengintegrasikan semua keupayaan itu dengan sistem radar dan pengesan kapal.
“Pada masa sama, kementerian melalui TLDM sedang mengambil segala langkah bagi memastikan keupayaan Surface-to-Surface Missile kapal-kapal LCS dapat dipulihkan melalui penyelesaian yang terbaik,” katanya. – UTUSAN










