GEORGE TOWN : Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa siri podcast atau audio siar Keluar Sekejap (KS) akan terus mengekalkan kebebasan dan tidak akan dijadikan mesin propaganda bagi mana-mana parti politik walaupun beliau kini kembali bergiat aktif dalam arena politik.
Khairy berkata, prinsip asas kepada kejayaan KS sejak mula diterbitkan ialah keberaniannya mengupas isu semasa secara bebas serta tidak terikat dengan kepentingan mana-mana pihak.
Menurutnya, beliau menyedari sukar untuk mengelakkan persepsi berat sebelah apabila seseorang sudah menyertai sesebuah parti politik, namun pelbagai langkah diambil bagi memastikan kandungan podcast itu kekal seimbang dan berwibawa.
“Sejak awal lagi KS dikenali kerana bebas dan berani mengkritik. Sebab itu kami cuba memastikan kandungannya dipelbagaikan,” katanya ketika menjadi panel forum Lepak Pemimpin Ekonomi Kuasa Penjenamaan, Pengaruh dan Penceritaan sempena CTOS SME Biz Day Pulau Pinang di Bayan Lepas di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika sidang akhbar, Khairy berkata, rakan pengasas KS iaitu Shahril Hamdan turut diberi tanggungjawab untuk mengimbangi setiap perbincangan sekiranya beliau dilihat terlalu cenderung untuk mempertahankan parti yang disertainya.
“Saya beritahu Shahril, kalau saya terlalu banyak jadi jurucakap UMNO, dia kena bantai (kritik) balik. Dia tahu peranannya untuk memastikan ada keseimbangan dalam setiap episod,” katanya.
Mengenai masa depan penglibatannya dalam KS, Khairy berkata, beliau masih memainkan peranan dalam podcast itu ketika ini, namun perancangan peralihan sudah disusun bagi memastikan operasi platform berkenaan dapat diteruskan sekiranya beliau kembali aktif dalam politik.
Katanya, sekiranya diberi peluang bertanding dalam pilihan raya, menang dan dilantik sebagai wakil rakyat, beliau mengundurkan diri daripada KS bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab politik.-UTUSAN










