KUALA LUMPUR: Kekuatan Pakatan Harapan (PH) tidak bergantung kepada DAP semata-mata, sebaliknya terletak pada kerjasama semua parti komponen membabitkan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri berkata, sejarah membuktikan kejayaan PH dicapai hasil kerjasama semua parti dalam gabungan, bukannya kekuatan sebuah parti sahaja.
“Pada 2008, Pulau Pinang dan Selangor menang semasa Pakatan Rakyat (PR) melawan Barisan Nasional (BN). Pada 2022, PH dan BN serta yang lain (Parti Sabah dan Serawak) menyokong untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan, di atas titah Yang di-Pertuan Agong lebih menitikberatkan kestabilan dan ekonomi negara.
“Ditambah pula, pendekatan Perdana Menteri memilih musibah kecil daripada musibah yang besar. Tetapi sebahagian pemimpin BN berebut kuasa untuk menjatuhkan kepimpinan dan bekerja sama dengan Perikatan Nasional (PN) demi menyelamatkan kedudukan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kiang Ming berpandangan Pulau Pinang menjadi kubu terakhir DAP dalam pilihan raya dan parti itu perlu menilai semula strategi politiknya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari mengakui DAP berdepan kemerosotan sokongan pengundi, namun berpandangan rakyat masih berdepan kesukaran untuk membuat pilihan kerana tiada alternatif yang lebih baik selain kerajaan sedia ada.
“Jadi, katakanlah kita kalah pilihan raya, saya menjangkakan kerajaan yang mengambil alih tidak akan mampu bertahan lama di Putrajaya, meskipun Perdana Menteri ketika ini sudah melakukan yang terbaik. Mungkin mereka hanya mampu bertahan sekitar setahun setengah sahaja,” katanya.-UTUSAN










