ALOR SETAR: Dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa Pas gentar menentang DAP sebagai tidak berasas kerana pembahagian kerusi pilihan raya selama ini dibuat berdasarkan realiti demografi pengundi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas tidak bertanding di kawasan majoriti masyarakat Cina kerana parti itu memahami corak sokongan pengundi, sama seperti DAP yang lazimnya bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.
“Kalau kawasan majoriti Cina, kenapa Pas nak tanding di situ. Kita tahu siapa penyokong kita dan siapa yang tidak menyokong kita. Itu realiti politik, orang Pas tahu siapa pengundi dia, orang DAP pun tahu siapa undi dia,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah, hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut mencabar Anthony Loke supaya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada pilihan raya akan datang jika benar mahu membuktikan keberanian politik.
“Kalau begitu, suruh DAP datang bertanding di kawasan Melayu. Beritahu Anthony Loke, pilihan raya akan datang mai bertanding di Jeneri. Dia kata Pas tak berani bertanding di kawasan Cina tapi hang pun tak berani bertanding di kawasan Melayu. Datanglah bertanding di Jeneri, kita tengok langit tinggi atau rendah,” katanya.
Beliau menegaskan keadaan itu bukan strategi politik, sebaliknya mencerminkan realiti landskap politik negara yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Katanya, di kawasan majoriti Melayu lazimnya pertandingan melibatkan parti seperti Pas, UMNO atau Bersatu, manakala di kawasan majoriti Cina pula lebih banyak ditandingi DAP, MCA atau Gerakan.
“Realiti politik kita memang macam itu. Tak payah pusing-pusing (kelirukan) orang ramai. Pengundi kawasan Cina, DAP pi lah bertanding. Kawasan Melayu, Pas atau UMNO. Tak payah cabar benda yang tak logik. Kalau saya suruh Anthony Loke, Tony Pua atau Hannah Yeoh bertanding di Jeneri, mahu kah,” katanya.
Katanya, parti-parti politik di Malaysia secara tradisinya berkembang mengikut kelompok kaum masing-masing dengan Pas dan UMNO mendapat sokongan masyarakat Melayu, manakala MCA dan Gerakan dalam kalangan masyarakat Cina.
Semalam, media melaporkan Anthony Loke mendakwa Pas gentar untuk bersemuka dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memilih bergantung kepada ‘proksi’, Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, keputusan Pas tidak meletakkan calon di kawasan ditandingi DAP menjadi sebahagian strategi menyatukan undi bagi calon BN, terutamanya daripada MCA.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan Pas sebagai parti tidak berprinsip kerana menyeru penyokong sendiri untuk menyokong BN di kerusi tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN










