KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haikal Farid mendedahkan bahawa dia sedia menerima tawaran berlakon filem aksi yang berisiko mendatangkan kecederaan sekiranya diberikan bayaran yang tinggi dan berbaloi.
Haikal atau Mohammad Haikal Farid Rizal, 27, berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan komitmen sepenuhnya termasuk melakukan aksi lasak yang ekstrem asalkan nilai bayaran yang ditawarkan adalah setimpal.
Menurutnya, bidang lakonan mempunyai cabaran yang sangat besar dan jauh berbeza berbanding dunia nyanyian yang diceburinya itu.
“Sekiranya ada tawaran berlakon selepas ini, InsyaAllah saya akan terima sahaja. Tetapi, jika ditanya sejauh mana saya sanggup berdepan risiko kecederaan teruk untuk filem aksi, jujurnya saya akan melihat kepada faktor bayaran terlebih dahulu.
“Jika nilai bayaran yang diberikan itu tinggi dan banyak, saya tidak mempunyai masalah untuk melakukan apa sahaja aksi ngeri tersebut. Kita sanggup lakukan komitmen sehingga ke tahap itu sekiranya ditawarkan bayaran yang setimpal,” katanya.
Haikal berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Pelancaran Single dan Musik Video Rasmi Aku Klasik di Redbox Plus, The Exchange TRX, pada Rabu.
Dalam pada itu, Haikal berkongsi pandangannya mengenai perbezaan ketara antara fokus sebagai seorang penyanyi dan juga tanggungjawab mendalami karakter sebagai pelakon.
“Berdasarkan pemerhatian saya, bidang lakonan dan nyanyian ini mempunyai perbezaan yang sangat besar. Apabila menyanyi, usaha untuk menghayati sesebuah lagu itu sebenarnya adalah lebih mudah.
“Keadaan itu sangat berbeza dengan dunia lakonan kerana proses untuk menghayati serta menjiwai sesuatu watak itu adalah jauh lebih susah. Disebabkan kesukaran itulah saya meletakkan faktor bayaran sebagai pertimbangan utama,” katanya.
Untuk rekod, Haikal Farid sebelum ini pernah terlibat dalam bidang lakonan menerusi penampilannya yang menjayakan beberapa babak aksi ringkas di dalam filem berjudul Gayong.










