JERANTUT: Pengurusan Titian Kanopi Seberang Ara, Taman Negara Kuala Tahan di sini, diminta mengkaji semula kadar bayaran merentasi laluan itu yang disifatkan terlalu tinggi dan boleh menjejaskan industri pelancongan di situ.
Ahli Majlis Daerah Jerantut, Datuk Rozilan Salleh berkata, kadar bayaran sebanyak RM70 seorang bagi aktiviti berjalan di atas jambatan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung khususnya pelawat domestik.
“Kadar bayaran ini agak mahal bagi pelawat domestik malah dihadkan hanya untuk seramai 350 orang sehari sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional serta tujuan pembinaan kanopi kedua di kawasan pelancongan hutan tropika ini.
“Pihak berwajib tidak boleh membandingkan pelancong luar seperti ‘Mat Saleh’ dari negara Barat kerana mereka berkemampuan daripada segi kewangan malah sudah merancang keperluan peribadi ketika berkunjung ke destinasi pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rozilan berkata, kadar bayaran juga didakwa mahal kerana pengunjung diwajibkan menggunakan khidmat pemandu pelancong.
“Lagipun jarak dari kawasan pusat perkhidmatan pelancongan dan chalet dengan titian tersebut sangat dekat, antara dua hingga lima minit perjalanan sahaja.
“Saya bersetuju dengan pembukaan titian kanopi baharu antara jambatan gantung kedua di hutan tropika Taman Negara oleh pihak berwajib di sini, tetapi perlu dikaji semula kadar bayaran masuk paling minimum supaya tidak membebankan pengunjung,” katanya.
Sementara itu, penggiat ekopelancongan Taman Negara, Sabri Abdullah berkata, kadar bayaran tersebut berpatutan kerana meliputi beberapa komponen perkhidmatan termasuk mengutamakan aspek keselamatan pengunjung.
“Bayaran ini merangkumi tambang bot penambang, permit, tiket masuk kanopi serta khidmat pemandu pelancong yang diwajibkan bagi mengiringi pengunjung sepanjang perjalanan antara 25 hingga 30 minit meniti laluan titian.
“Ia melibatkan laluan sepanjang 701.10 meter terdiri daripada 15 buah platform dan 14 buah jambatan setinggi antara lima hingga 35 meter dari aras tanah.Kadar ini saya anggap berpatutan dan relevan seperti di tempat pelancongan lain dikenakan oleh pihak pengurusan melalui ejen dan pemandu pelancong demi memastikan keselamatan pengunjung,” katanya.-UTUSAN










