JPN Kedah jamin kebajikan murid, keluarga insiden jatuh di sekolah

JPN Kedah jamin kebajikan murid, keluarga insiden jatuh di sekolah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memastikan kebajikan dan kesejahteraan seorang murid tahun lima yang cedera selepas terjatuh ketika cuba menangkap burung di ruang siling sebuah sekolah rendah di Padang Terap akan terus diberi perhatian.

Menurut JPN Kedah, sokongan menyeluruh termasuk aspek emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain yang bersesuaian akan disalurkan kepada murid berkenaan dan keluarganya.

“Selain itu, intervensi sokongan emosi turut akan diberikan kepada murid-murid di sekolah terbabit bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.

“JPN Kedah menegaskan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan, selain pemantauan berterusan akan terus dipertingkatkan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kejadian seorang murid lelaki yang dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika cuba menangkap burung merpati di ruang siling sekolah terbabit.

Kejadian berlaku selepas sesi persekolahan tamat apabila murid tersebut pulang ke rumah sebelum hadir semula ke sekolah bagi mengikuti kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

Susulan kejadian itu, pihak sekolah segera mendapatkan bantuan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.

Tambah JPN Kedah, pihaknya juga amat prihatin terhadap insiden yang berlaku dan akan terus memantau perkembangan murid terbabit dari masa ke semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN