Jip dan pikap syarikat kini layak subsidi diesel SKDS

Jip dan pikap syarikat kini layak subsidi diesel SKDS

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kini diperluaskan kepada kenderaan persendirian syarikat bagi kategori jip dan pikap.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sektor pengangkutan darat baharu itu merupakan tambahan kepada dua sektor sedia ada iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).

Menurutnya, susulan penambahan kategori baharu itu, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang kini terlibat di bawah SKDS meningkat kepada 35 jenis.

“Bagi sektor baharu ini, permohonan pendaftaran mula dibuka hari ini (3 Julai) manakala kelayakan subsidi akan berkuat kuasa bermula 15 Julai depan tertakluk kepada kelulusan dan pemilikan fleet card.

“Subsidi ini disasarkan khusus untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai syarat kelayakan, Armizan menjelaskan kenderaan terbabit mestilah didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas atau Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam Sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, perniagaan tersebut perlu berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan bagi Sabah dan Sarawak.

“Penyaluran subsidi melalui SKDS ini menggunakan kaedah fleet card dengan kadar kuota tetap yang berbeza mengikut jenis badan, kelas kegunaan serta kategori teknikal kenderaan.

“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang memenuhi kriteria kelayakan digesa untuk segera mengemukakan permohonan masing-masing melalui portal MySubsidi,” ujarnya.

Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar ketika ini turut dilaksanakan melalui mekanisme lain termasuk subsidi individu (BUDI Diesel) serta bantuan untuk petani, penternak dan pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) di bawah Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Skim Subsidi Diesel Nelayan pula kekal dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN