PENGGEMAR aktiviti yang mencabar adrenalin pasti teruja dengan tarikan ekstrem baharu di Texas apabila Six Flags Over Texas secara rasmi melancarkan permainan roller coaster baharu yang mencipta sejarah dengan memecahkan enam rekod dunia.
Dinamakan Tormenta Rampaging Run, tarikan itu bukan sahaja menjadi roller coaster jenis giga dive coaster tertinggi, terpantas dan terpanjang di dunia, malah menawarkan pengalaman menjunam dari ketinggian lebih 91.44 meter dengan sudut hampir menegak.
Roller coaster jenis giga dive coaster pertama di dunia yang dibuka pada 9 Julai lalu mencatat rekod sebagai yang tertinggi, terpantas dan terpanjang dalam kategorinya.
Taman tema di Arlington, Texas itu mula mengumumkan tarikan baharu berkenaan pada September tahun lalu.

Bertemakan tradisi terkenal Sepanyol, Tormenta Rampaging Run membawa penumpang menjulang tinggi melepasi latar langit Dallas-Fort Worth sebelum berhenti seketika di puncak laluan.
Seperti detik mendebarkan sebelum pelepasan lembu dalam tradisi larian lembu jantan, roller coaster itu berhenti selama tiga saat di hujung landasan sebelum menjunam pada sudut 95 darjah sejauh 87 meter, menjadikannya rekod dunia bagi jatuhan melepasi garisan menegak paling tinggi.
Tarikan itu turut mencatat beberapa rekod, termasuk roller coaster jenis dive tertinggi dunia dengan ketinggian 94 meter, dive coaster terpantas dunia dengan kelajuan maksimum 140 kilometer sejam serta dive coaster terpanjang dunia dengan panjang landasan 1,280 meter.
Rekod lain yang dicatat melibatkan gelung menegak tertinggi dunia mencecah 55 meter dan gerakan songsang Immelmann tertinggi dunia pada ketinggian 66 meter iaitu pergerakan seperti pesawat pejuang.
“Maklum balas daripada pengunjung sangat positif. Para pengunjung benar-benar menyukai permainan ini. Ia adalah pengalaman mendebarkan yang tidak pernah mereka rasai sebelum ini dan kami sangat berbangga,” kata Presiden Six Flags Over Texas, Pete Carmichael kepada CBS 19.
Menurut Carmichael, sesiapa yang gemarkan cabaran dan meminati permainan roller coaster mampu menakluki Tormenta Rampaging Run, tanpa perlu memiliki keberanian luar biasa.
Pada pertengahan Jun, pihak taman tema mengumumkan tarikan itu akan dibuka kepada orang ramai pada 26 Jun.
Namun, hanya empat hari sebelum tarikh pembukaan, jurucakap taman tema memaklumkan proses pentauliahan mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.
Proses pentauliahan merupakan fasa terakhir ujian sebelum sesuatu tarikan dibuka, apabila kru memastikan semua sistem mekanikal, elektrik dan kawalan memenuhi piawaian keselamatan serta spesifikasi pengeluar.
Tormenta Rampaging Run terletak di kawasan Rancho de la Tormenta Plaza, sebuah kawasan baharu bertemakan sebuah perkampungan lama dan terpencil di Sepanyol. Kawasan itu dihiasi sepanduk berwarna-warni serta muzik Sepanyol yang rancak.
Menurut kenyataan rasmi taman tema, kawasan itu pada asalnya dinamakan sempena ribut yang melanda dataran tempat ia dibina. Namun, nama itu berubah selepas kelahiran seekor lembu legenda yang menjadi haiwan paling digeruni dan dihormati di kawasan tersebut.
“Dikenali kerana kekuatannya yang luar biasa dan kelajuan mengagumkan, lembu itu yang digelar ‘Tormenta’ menjadi simbol ketahanan dan kekuatan bandar berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Pembukaan tarikan baharu tersebut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-65 Six Flags Over Texas.
Sambutan sepanjang tahun itu menampilkan hiburan baharu, pilihan makanan dan minuman tambahan, penambahbaikan permainan sedia ada, projek naik taraf taman serta pelbagai aktiviti lain.-UTUSAN










