KOTA BHARU: Tempahan pakej pelancongan ke Thailand khususnya bagi perjalanan darat dari Kelantan belum kembali rancak apabila ramai rakyat Malaysia dilihat mengambil pendekatan berhati-hati susulan insiden letupan bom di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala, baru-baru ini.
Situasi itu sekali gus memberi kesan kepada pengusaha pelancongan yang menyediakan perkhidmatan ke negara jiran tersebut apabila bilangan tempahan masih berada pada paras rendah berbanding kebiasaan.
Pengendali perkhidmatan ke Thailand, Zulkifli Hashim berkata, kebanyakan pelanggan memilih menangguhkan perjalanan kerana masih bimbang dengan aspek keselamatan meskipun kejadian letupan bom itu tidak melibatkan kawasan-kawasan tumpuan pelancong.
Katanya, situasi itu mempengaruhi keputusan orang ramai untuk bercuti ke negara berkenaan.
“Tempahan ke Thailand masih kurang. Kebanyakan pelanggan mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan untuk meneruskan percutian ke Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh mengakui kemasukan kenderaan Malaysia dari arah Sungai Golok menurun susulan insiden letupan bom.
Katanya, ia dapat dilihat apabila banyak tempahan hotel dan penginapan dibatalkan kesan insiden itu.
“Situasi ini berbeza dengan kemasukan rakyat Malaysia dari arah Sadao. Meskipun letupan sering berlaku, namun Kerajaan Thailand tetap berusaha memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Pada 29 Jun lalu, polis menasihatkan penduduk negeri ini menangguhkan sementara perjalanan ke selatan Thailand susulan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED). – UTUSAN










