Imigresen diarah terus perhebat operasi PATI walaupun depoh sesak

Imigresen diarah terus perhebat operasi PATI walaupun depoh sesak

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) diarah untuk terus mempertingkat operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa sebarang kelonggaran meskipun depoh imigresen di seluruh negara berdepan masalah kesesakan, bagi memastikan aspek keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, momentum operasi penguatkuasaan perlu terus dikekalkan bagi memastikan setiap warga asing yang berada di negara ini mematuhi Akta Imigresen, termasuk memiliki dokumen perjalanan yang sah, tidak tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta tidak menyalahgunakan pas lawatan.

“Negara kita terbuka dan memberi peluang kepada mereka mencari rezeki, tetapi mereka juga perlu mematuhi undang-undang negara. Jika didapati melanggar peraturan, tindakan sewajarnya termasuk penahanan di depoh imigresen perlu diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, ketika ini terdapat 19 depoh tahanan imigresen di seluruh negara, namun kapasiti fasiliti sedia ada berkenaan telah melebihi had berikutan peningkatan operasi penguatkuasaan yang dijalankan.

Justeru, katanya, keadaan itu sering mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membangkitkan isu kemanusiaan.

“Lagi kuat penguatkuasaan kita, lagi banyak kes yang berjaya dikesan, sedangkan kita hanya mempunyai 19 depoh imigresen. Kapasiti depoh kita kini telah melebihi had.

“Pada masa sama, kita berdepan isu kesesakan depoh yang turut menuntut pertimbangan dari sudut nilai kemanusiaan. Penjara yang sesak pun sedang kita tangani melalui pelbagai inisiatif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN