Hospital baharu mampu tampung keperluan penduduk

Hospital baharu di Bandar Enstek tampung keperluan penduduk

SEBUAH hospital awam baharu perlu dibina di Seremban bagi menampung pertambahan pesakit di HTJS. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk membina sebuah hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai disifatkan sebagai langkah tepat bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di kawasan yang semakin pesat membangun.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, pembinaan hospital baharu, sama ada milik kerajaan atau swasta, sememangnya amat dialu-alukan memandangkan ketika ini Nilai hanya mempunyai sebuah hospital swasta.

Beliau berkata, dengan anggaran populasi antara 100,000 hingga 150,000 penduduk, kapasiti kemudahan kesihatan sedia ada tidak lagi seiring dengan pertumbuhan penduduk yang semakin pesat.

“Pada masa ini, penduduk di Nilai banyak bergantung kepada hospital kerajaan di Seremban, Putrajaya dan Serdang yang masing-masing mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.

“Dalam situasi kecemasan atau apabila jumlah pesakit semakin meningkat, sudah tentu sebuah hospital di Nilai sendiri akan memberi manfaat besar kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Iqmal berkata, Nilai kini bukan sekadar kawasan perumahan dan perindustrian, malah telah berkembang sebagai hab pendidikan yang menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi, kolej, sekolah serta ribuan pelajar dari dalam dan luar negara.

Katanya, perkembangan pesat sektor pendidikan itu secara langsung meningkatkan kepadatan penduduk sekali gus menuntut penyediaan kemudahan kesihatan yang lebih lengkap dan mudah diakses.

“Apabila kawasan ini terus berkembang, keperluan terhadap sebuah hospital baharu juga semakin mendesak kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, malah kepada komuniti pelajar dan tenaga kerja yang semakin ramai,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap sekiranya kerajaan memutuskan untuk mewujudkan sebuah hospital baharu di Nilai, mandat tersebut dapat dipertimbangkan kepada USIM.

“Pada asalnya terdapat harapan supaya USIM mempunyai hospital pengajar sendiri, namun hasrat itu masih belum menjadi kenyataan.

“Justeru, sekiranya kerajaan mahu membangunkan sebuah hospital baharu di Nilai, adalah lebih baik jika ia dapat direalisasikan melalui USIM kerana ia bukan sahaja memperkukuh sistem kesihatan, malah menyokong latihan dan pembangunan tenaga perubatan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN