PETALING JAYA: Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) perlu dipinda secara komprehensif bagi memperkukuh kerangka perundangan, tadbir urus dan pengurusan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam) berkata, pindaan itu perlu memastikan pembahagian fungsi dan kuasa yang lebih jelas antara pengurusan haji dengan pengurusan kewangan serta pelaburan.
Katanya, kriteria ‘fit and proper’ yang ketat juga perlu ditetapkan bagi pelantikan anggota Lembaga berdasarkan kompetensi, integriti serta kepakaran dalam bidang kewangan, ekonomi, perniagaan dan syariah.
“Proses pelantikan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi hendaklah berasaskan merit, kelayakan serta kepakaran yang relevan.
“Sebarang pelantikan yang berpotensi menimbulkan konflik kepentingan atau persepsi campur tangan politik perlu dielakkan demi menjaga keyakinan masyarakat terhadap LTH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hikam turut menyambut baik pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu tadbir urus TH yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti institusi berkenaan.
Bagaimanapun, gabungan itu berkata, laporan yang membabitkan kepentingan awam sewajarnya didedahkan lebih awal supaya proses semak dan imbang dapat dilaksanakan secara terbuka serta langkah pembaikan dapat disegerakan.
Katanya, laporan RCI itu juga tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai usaha mengenal pasti kesilapan lalu, sebaliknya perlu dijadikan asas kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh.
Jelasnya, Jawatankuasa Pelaburan dan Jawatankuasa Penasihat Syariah perlu diperkukuh melalui peruntukan undang-undang yang jelas selain menambah baik mekanisme audit dan pelaporan kewangan.
“Hikam menyeru agar segala syor yang munasabah dan bermanfaat dalam laporan RCI ini diteliti dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan.
“Reformasi menyeluruh amat penting bagi memastikan LTH terus kekal sebagai institusi yang diyakini, dihormati dan mampu memenuhi tujuan asal penubuhannya dalam memelihara kepentingan serta kebajikan umat Islam,” katanya. –UTUSAN










