IPOH: Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat khususnya generasi muda menghayati serta menghargai perjuangan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara selepas melalui pengalaman pahit akibat penjajahan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjajahan bukan sahaja merampas kekayaan dan khazanah negara, malah menghilangkan maruah, hak serta jati diri rakyat apabila pentadbiran tanah air ditentukan oleh kuasa asing.
Menurutnya, pemimpin tempatan ketika itu dijadikan boneka penjajah, manakala rakyat kehilangan hak untuk menentukan hala tuju negara sendiri serta tidak bebas bersuara.
“Akibat penjajahan, rakyat tidak mempunyai kesempatan mengatur kaedah pentadbiran sendiri. Walaupun dibenarkan mengamalkan agama, mereka tidak bebas mengembangkannya.
“Harus ingat perkara ini. Nenek moyang kita terpaksa berdepan penjajah. Kita mengetahui sejarah Perjanjian Pangkor, malah lebih awal daripada itu penaklukan Melaka oleh Portugis. Perjanjian Inggeris-Belanda pula membahagikan rantau Melayu kepada beberapa negeri dan wilayah, bukan kita yang mengaturnya tetapi ditentukan dari London dan Netherlands (Belanda),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Anwar berkata, ketika itu nasib negara ditentukan oleh kuasa asing yang tidak mempunyai hubungan dengan budaya, agama dan sejarah tempatan, sebaliknya hanya mementingkan kepentingan sendiri.
“Mereka tidak mempunyai kecintaan terhadap kehidupan kita. Mereka mengatur pentadbiran untuk memenuhi kepentingan mereka sehingga seluruh kekayaan negara dipunggah keluar. Apabila kapal terbakar, khazanah kita turut hilang,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman itu akhirnya mencetuskan kesedaran rakyat untuk bangkit memperjuangkan kemerdekaan, namun perjuangan tersebut mengambil masa yang panjang serta menuntut pengorbanan darah, keringat dan air mata.
Katanya, generasi hari ini perlu memahami bahawa kemerdekaan negara dicapai hasil perpaduan dan kerjasama semua kaum termasuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan serta pelbagai etnik lain.
“Tanah Melayu hampir 70 tahun merdeka dan Sabah serta Sarawak lebih 60 tahun bersama dalam Malaysia, tetapi kita masih bercakap mengenai perbezaan warna kulit, mata dan hidung.
“Mengapa perkara itu perlu dipertikaikan sehingga memecahbelahkan rakyat? Apakah kita boleh menafikan penyertaan semua kaum dalam mencapai kemerdekaan? Tidak, kita tidak boleh menafikannya,” katanya.
Anwar berkata, semangat perpaduan itu turut diterjemahkan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menerusi cogan kata ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ ketika negara mencapai kemerdekaan.
Menurut beliau, ketika itu Tunku Abdul Rahman sudah menyedari negara ini mempunyai kepelbagaian kaum, agama, budaya dan wilayah namun perpaduan menjadi asas kepada kemajuan negara.
“Maknanya, kalau kita bersatu, mutu akan bertambah. Generasi sekarang jangan sesekali memikirkan soal perpecahan atau terpengaruh dengan sentimen serta hasutan kelompok politik.
“Bersatu bukan untuk merompak atau mencuri balak dan harta, tetapi untuk meningkatkan mutu kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN










