FOMCA: AFA bantu pengguna rancang bil elektrik

FOMCA: AFA bantu pengguna rancang bil elektrik

PENGGUNA domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah iaitu sekitar RM216 sebulan, tidak akan terkesan oleh AFA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUACA panas bukan sekadar soal rasa tidak selesa. Bagi banyak keluarga, ia mempengaruhi cara kita menggunakan elektrik setiap hari, sama ada untuk menyejukkan suasana rumah, menyimpan makanan, mencuci pakaian atau memastikan anak-anak dapat berehat dan belajar dengan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, pengguna wajar mengambil tahu apabila ada komponen baharu yang muncul dalam bil elektrik agar dapat merancang bil elektrik dengan lebih teratur dan mengikut bajet, pada setiap bulan.

Jelasnya, penting bagi pengguna memahami mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik atau AFA, yang membantu menjelaskan bagaimana perubahan kos bahan api dalam penjanaan elektrik boleh memberi kesan kepada bil bulanan.

“Kos penjanaan elektrik negara turut dipengaruhi oleh perubahan harga bahan api di pasaran dunia, termasuk gas asli dan arang batu. Kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat juga memainkan peranan kerana sebahagian bahan api dan transaksi tenaga melibatkan pasaran antarabangsa.

“Ini bermakna, kos elektrik bukan hanya dipengaruhi faktor tempatan, tetapi turut berkait dengan pergerakan ekonomi global. Pada masa sama, Kerajaan terus mengekalkan pelbagai langkah perlindungan bagi memastikan majoriti pengguna domestik dilindungi daripada kesan turun naik kos tenaga global,” katanya.

AFA BUKAN TARIF BAHARU

Saravanan berkata, tarif asas adalah kadar yang ditetapkan untuk penggunaan elektrik, manakala AFA pula menyesuaikan kos bahan api berdasarkan keadaan sebenar pasaran.

Oleh itu, katanya, AFA tidak semestinya menyebabkan kenaikan bil elektrik.

“Jika kos bahan api menurun, pengguna boleh menikmati rebat. Jika kos bahan api meningkat, surcaj mungkin dikenakan. Mekanisme yang sama berfungsi dalam kedua-dua keadaan.”

Pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah iaitu sekitar RM216 sebulan, tidak akan terkesan oleh AFA.

Maknanya, kumpulan pengguna tersebut akan terus dilindungi daripada pelarasan kos bahan api, sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat.

“Contohnya, pengguna boleh melihat situasi biasa berlaku apabila membeli tiket kapal terbang. Harga tiket penerbangan sering berubah mengikut kos bahan api pesawat yang menjadi antara komponen utama kos operasi syarikat penerbangan.

“Apabila harga bahan api meningkat di pasaran dunia, kos operasi syarikat penerbangan turut meningkat dan ini boleh mempengaruhi harga tiket. Sebaliknya, apabila harga bahan api menurun, tekanan kos juga berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, analogi ini penting kerana ia membantu pengguna melihat AFA bukanlah mekanisme yang diwujudkan semata-mata untuk menaik kan bil elektrik.

Sebaliknya, ia mencerminkan perubahan kos sebenar dalam proses menjana tenaga elektrik, sama seperti perubahan kos bahan api yang mempengaruhi industri penerbangan.

PENGGUNA ADA KUASA KAWAL BIL

TNB telah membuat persediaan menyeluruh bagi memastikan orang ramai dapat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil dan berterusan.

Menurut Saravanan, AFA membolehkan pengguna mengetahui kadar semasa dan ramalan lebih awal, sekali gus membantu mereka merancang penggunaan elektrik serta bajet bulanan dengan lebih baik.

Jika terdapat petunjuk kos tenaga dijangka meningkat pada bulan tertentu, pengguna boleh mula mengambil langkah penjimatan lebih awal dan mengelakkan kejutan pada bil elektrik.

Kemas kini AFA secara bulanan membantu pengguna memahami trend kos tenaga semasa dengan lebih jelas, sekali gus membolehkan mereka membuat perancangan kewangan dan pelara san penggunaan lebih awal.

“Orang ramai berhak mengetahui bagaimana bil elektrik mereka dikira dan faktor yang mempengaruhi kos tersebut. Penjelasan yang jelas membantu pengguna memahami perubahan bil, mengurangkan salah faham dan spekulasi, sekali gus memperkukuh kepercayaan,” kata Saravanan.

Bagi peniaga pula, pemahaman awal tentang trend kos tenaga dapat membantu mereka merancang penggunaan elektrik, menilai kecekapan operasi dan memilih teknologi yang lebih cekap tenaga.

AFA merupakan usaha menjadikan sistem penetapan kos elektrik lebih telus dan mudah difahami. Paling penting pengguna memanfaatkan maklumat yang disediakan untuk merancang penggunaan tenaga dengan lebih berkesan.

Dengan pengetahuan mencukupi, pengguna akan lebih bersedia mengurus perbelanjaan tenaga dan membuat keputusan lebih bijak untuk masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN