Felda kembali jadi kubu kuat BN

Felda kembali jadi kubu kuat BN

WAN Rosdy Wan Ismail (empat dari kanan) merasmikan majlis penutup Karnival Belia Pahang, di Kompleks Belia dan Sukan Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi terutama di kawasan Felda dilihat sebagai petanda jelas sokongan warga peneroka kembali memihak kepada gabungan tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sokongan yang diterima daripada warga peneroka di 73 tanah rancangan Felda di Johor membuktikan kawasan berkenaan kembali menjadi kubu kuat BN. 

“Ya, asalnya (Felda) kubu kuat dan sekarang sudah kembali. Hari itu (dalam pilihan raya umum lalu) bukan kubu kuat (pembangkang) pun. Cuma mungkin mereka tersilap, terkeliru antara BN dan Perikatan Nasional (PN), hampir sama kalau disebut BN, PN.

“Sebab itu sebagai contoh, inisiatif diperkenal Kerajaan Negeri Pahang seperti Baucar Negeri dalam kurungan BN, Bakti Negeri pun BN… sebab baru orang ingat BN (yang bantu), kalau tidak mereka keliru BN dengan PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan Festival Belia Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Pahang di sini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar berkata, kejayaan kerajaan negeri menyelesaikan isu suratan hak milik peneroka turut menjadi bukti keprihatinan pentadbiran BN terhadap kebajikan warga Felda.

Menurutnya, daripada kira-kira 43,000 peneroka di Pahang, sebanyak 95.5 peratus sudah menerima suratan hak milik manakala di Johor hanya tiga daripada lebih 27,000 peneroka belum menerimanya.

“Kita bercakap ini dengan angka dan ini bukti kepekaan, kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang dan Johor ditadbir BN berbanding kerajaan ditadbir bukan BN. Di Negeri Sembilan misalnya, beratus-ratus lagi belum selesai berkaitan suratan hak milik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN